KUSKOP Laksana Lima Program Khusus Tahun Ini Untuk Digitalisasikan PMKS | Sabah News

Ewon
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan melaksanakan lima program khusus tahun ini, di bawah Pelan Strategi Kuskop 2023 dalam usaha mendigitalisasikan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, KUSKOP telah memberikan fokus kepada usaha mendigitalisasikan PMKS termasuk koperasi bagi mempercepat tahap adaptasi teknologi seterusnya meningkatkan kecekapan dan produktiviti perniagaan dan menggalak penggunaan platform digital untuk memperluaskan pasaran domestik dan antarabangsa.

“Program-program khusus itu akan dilaksanakan oleh kementerian dan agensi-agensi kementerian mensasarkan penyertaan seramai 4,320 PMKS,” katanya pada sesi pertanyaan di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr.Nik Muhammad Zawawi Haji Salleh (Pasir Puteh) yang bertanya apakah strategi Kerajaan Malaysia Madani dalam memastikan kesinambungan usaha mendigitalisasikan PKS secara langsung yang lebih efisyen berbanding ketika ini dilihat lebih berfokus kepada pemberian geran melibatkan pemain industri multinasional seperti Maxis, Digi dan lain-lain dengan menyediakan platform dan latihan automasi PKS.

Ewon berkata, lima program khusus untuk mendigitalkan PMKS iaitu Protal Pybil, Platform Keusahawanan Digital MyMall, Program Transformasi Teknologi dan Digitalisasi Koperasi, Skim Pembiayaan Online TEKUN (SPOT) dan Program Memperkasakan Digitalisasi Koperasi (C.O.D.E.).

“Portal Pybli dilaksanakan oleh PERNAS bertujuan membantu usahawan mengembangkan perniagaan melalui platform digital melibatkan sasaran sebanyak 100 peserta.

“Manakala Platform Keusahawanan Digital MyMall pula dilaksanakan oleh KUSKOP dengan sasaran 200 peserta.

“Inisiatif ini bertujuan mewujudkan pusat maklumat sehenti kepada usahawan dan bakal usahawan bagi mendapatkan informasi berhubung pembiayaan, aktiviti pembangunan kapasiti ataupun latihan, dan pemasaran serta pengiklanan,” katanya.

Ewon berkata, Program Transformasi Teknologi dan Digitalisasi Koperasi yang juga akan dilaksanakan oleh KUSKOP mensasarkan 20 peserta, bertujuan memberi pendedahan transformasi koperasi ke arah penggunaan teknologi dan digitalisasi dalam tadbir urus dan aktiviti.

“Skim Pembiayaan Online TEKUN (SPOT) oleh TEKUN Nasional pula bertujuan menyediakan modal pembiayaan secara mudah dan cepat, khas untuk usahawan yang menjalankan perniagaan secara atas talian, mensasarkan 3,000 peserta.

“Bagi Program Memperkasakan Digitalisasi Koperasi (C.O.D.E.) yang dilaksanakan oleh Institut Koperasi Malaysia (IKMa), dengan sasaran 1,000 peserta, bertujuan menggalakkan koperasi menggunakan pemasaran digital,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *