KUALA LUMPUR: Hujan lebat di ibu negara sejak awal pagi hari mengakibatkan beberapa kawasan di sini dinaiki air termasuk di sekitar bangunan Parlimen.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman Al-Sagoff dalam satu hantaran di platform X berkata, Parlimen ditangguhkan selama 30 minit kerana banjir yang menghalang Menteri dan Ahli Parlimen daripada tiba di Parlimen.
“Rakyat yang terjejas akibat banjir bukan sahaja menghadapi kesulitan untuk sampai ke tempat kerja atau sekolah, tetapi mereka juga berhadapan dengan kehilangan harta benda, rumah yang rosak, dan risiko penyakit akibat air yang tercemar.
“Setiap kali banjir berlaku, mereka perlu berjuang untuk mendapatkan bantuan dan perlindungan sementara.
“Inilah realiti yang dihadapi oleh golongan yang paling terdedah kepada kesan perubahan iklim, dan keadaan ini memerlukan tindakan segera daripada semua pihak,” katanya menerusi hantaran itu, hari ini.
Difahamkan, sidang Parlimen di Dewan Rakyat yang dijadualkan bermula 10 pagi hari ini terpaksa dianjakkan ke 10.30 pagi susulan sebilangan Ahli Parlimen terperangkap dalam banjir kilat.
Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menasihatkan warga kota supaya memandu dengan cermat dalam keadaan hujan dan jalan yang licin.
“Jaga jarak selamat, tngkatkan jarak kenderaan agar ada masa untuk berhenti dengan selamat jika berlaku kecemasan.
“Elakkan memotong lajur, kesesakan semasa hujan boleh menyebabkan kenderaan bergerak secara perlahan dan elakkan menukar lorong tanpa perlu,” katanya.