KOTA KINABALU, SABAH – Saintis Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr. Justin Sentian dari fakulti Sains dan Sumber Alam berjaya mencipta dua rekod yang diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records (MBOR) melalui Ekspedisi Penyelidikan Musim Sejuk Antartika 2023.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pencapaian tersebut bukan sahaja melampaui kejayaan peribadi beliau tetapi juga satu tanda kejayaan dan kebanggaan untuk Malaysia, Negeri Sabah dan juga UMS.
“Pencapaian Justin membolehkannya diberi dua pengiktirafan serentak dalam Malaysian Book of Records sebagai rakyat Malaysia pertama yang menjalankan penyelidikan pada musim sejuk dengan keadaan cuaca melampau dan juga rakyat Malaysia pertama yang tinggal paling lama di benua Antartika iaitu selama tujuh bulan.
“Seiringan dengan pencapaian ini, pengiktirafan juga diberikan kepada Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) sebagai penganjur ekspedisi penyelidikan musim sejuk pertama di benua Antartika,” katanya semasa Majlis Penganugerahan The Malaysia Book of Record Program Penyelidikan Musim Sejuk di Antartika di Dewan Bankuasi UMS, pada Isnin.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Alfred Angin.
Turut hadir Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Dr, Chin Thoo Kim, Naib Canselor UMS, Datuk Dr. Kasim Hj Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif YPASM, Abd Shukor Jamaluddin.
Menurut Hajiji, pengiktirafan berprestij yang diberikan itu membuktikan bahawa rakyat Malaysia mampu melakukan sesuatu di luar daripada kebiasaan dan melambangkan komitmen dan kejayaan negara terhadap kecemerlangan dalam inovasi dan penyelidikan saintifik.
“Kemampuan beliau untuk bertahan dan tinggal agak lama di benua Antartika dalam keadaan cuaca melampau pada musim sejuk, menunjukkan ketabahan dan komitmen yang sangat tinggi, bukan sahaja dalam penyelidikan beliau berkaitan dengan perubahan iklim dan dinamik kimia atmosfera di Antartika, tetapi juga dan segi aspek ketahanan fizikal dan mental yang sangat luar biasa.
“Saya percaya, perjalanan beliau ke Antartika mencerminkan semangat, tekad dan rasa ingin tahu yang sangat mendalam dan semangat ini mampu menjadi sumber inspirasi dan teladan, bukan sahaja kepada golongan penyelidik, tetapi kepada seluruh masyarakat terutama generasi muda,” jelasnya.
Beliau berkata geran penyelidikan yang dianugerahkan kepada Justin telah menyumbang secara signifikan kepada kemajuan ilmu pengetahuan dan pemahaman mengenal Antartika, terutama dalam bidang perubahan iklim, yang kini merupakan isu global yang hangat dibincangkan.
Ujar Hajiji, kecemerlangan program akademik yang ditawarkan di UMS adalah bukti bahawa dedikasi universiti itu dalam melahirkan penyelidik dan individu yang cemerlang telah memberikan impak positif kepada negara dan seluruh rakyat.
Ekspedisi Penyelidikan Musim Sejuk Antartika yang pertama kali diadakan itu dianjurkan oleh Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dengan kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Institut Penyelidikan Antartika Chile (Instituto Antartico Chileno, INACH) dan Kedutaan Chile di Malaysia.
Untuk rekod, Justin telah menerima geran penyelidikan khas bernilai RM150,000 daripada YPASM untuk projek berkaitan perubahan iklim bertajuk “Variasi Ozon Troposfera dan Halokarbon di Semenanjung Antartika Dalam Keadaan Cuaca Melampau” dan telah berjaya melakar sejarah selaku rakyat Malaysia pertama menjalankan ekspedisi penyelidikan semasa musim sejuk dengan cuaca ekstrem di Antartika selama tujuh bulan antara 21 Mac hingga 21 Oktober tahun lalu sekaligus menjadikannya sebagai rakyat Malaysia paling lama berada di benua paling sejuk dunia itu. — JABATAN PENERANGAN SABAH