Advertisement

Semak OACP Dan Selaras Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024-2028

Azam
Azam ketika ditemui media ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Semua agensi disaran untuk menyemak Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) dan menambahbaik selaras Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata penyelarasan berpandukan NACS dan pelaksanaan efektif adalah bagi memastikan usaha tatakelola yang baik, berintegriti dan pencegahan rasuah benar-benar dapat dirasai oleh rakyat.

“Dalam membangunkan negara, bukan sahaja rakyat memerhatikan pentadbiran negara tetapi ada pemerhati dari pihak antarabangsa iaitu Transparency International (TI) yang mewujudkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

“Indeks ini mencerminkan tahap rasuah di sesebuah negara melalui kajian dan Malaysia tidak terkecuali dalam kajian oleh TI.

“Kerajaan Malaysia Madani menyasarkan Malaysia perlu berada pada kedudukan 25 dalam tempoh 10 tahun dan pada masa ini kita masih belum boleh berbangga dengan kedudukan 57 daripada 180 buah negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan di Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah 2024 (KITA 2024), pada Isnin.

Menurutnya, NACS 2024-2028 yang yang mengandungi 60 substrategi di bawah lima strategi bertujuan meningkatkan integriti, tatakelola, mengekang rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan.

“Bagi memastikan NACS ini berjaya dan berkesan, komitmen dan kerjasama kolektif semua pihak diperlukan.

“Jika kita hanya melihat tanpa bertindak, rasuah akan merebak seperti barah, secara senyap dan bahaya, menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan, menyebabkan ketidakadilan sosial sehingga menggadai masa depan negara,” tambahnya.

Sebelum NACS 2024-2028, Malaysia telah melancarkan Pelan Antirasuah National (NACP) 2019–2023 selari Artikel 5 United Nation Convention Againts Corruption (UNCAC) yang menetapkan bahawa semua negara anggota perlu menghasilkan satu dokumen rujukan utama bagi inisiatif-inisiatif antirasuah di peringkat nasional.

Azam turut memaklumkan Pasukan Petugas Khas CPI ditubuhkan untuk mencari jalan dan mengesyorkan strategi bagi meningkatkan skor dan kedudukan Malaysia dalam CPI.

“Tumpuan kepada enam bidang utama iaitu penguatkuasaan, pengurusan dana awam, komunikasi strategik, daya saing perniagaan, risiko pelaburan dan perundangan.

“Objektif kumpulan yang dianggotai oleh agensi awam, swasta, dewan perniagaan serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) ini adalah untuk melaksanakan tindakan-tindakan berhubung usaha-usaha penambahbaikan CPI mengikut bidang keutamaan masing-masing,” tambahnya.

KITA 2024 mendapat penyertaan lebih 2,500 peserta terdiri daripada pengurusan tertinggi, Ketua Pegawai Integriti dan Governans (CIGO) dan Pegawai Integriti dari pelbagai jabatan dan agensi. — JABATAN PENERANGAN SABAH