KUALA LUMPUR – Syarikat penganjur konsert terkemuka negara, Orange International menganjurkan konsert ‘A Night With Sumandak Stars – Ceritera Hatiku’ dijadualkan pada 30 November ini.
Konsert yang bermula jam lapan malam di Zepp, Kuala Lumpur itu akan menggabungkan barisan penyanyi popular Malaysia yang berasal dari Sabah iaitu Bella Astillah, Marsha Milan, Adira Suhaimi, Stacy Anam, Nikky Palikat, Wani Kayrie dan Didi Astillah.
Ketua Pegawai Eksekutif Orange International, Datuk Mohd Fadzli Idrus berkata ia merupakan kali pertama pihaknya menganjurkan konsert yang menghimpunkan penyanyi Sabah.
“Kami berbangga dapat membawa tujuh artis ‘sumandak’ yang masing-masing mempunyai pencapaian cemerlang dalam industri muzik.
“Ini adalah satu penghormatan untuk memberikan platform kepada mereka dalam sebuah acara yang belum pernah diadakan sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, artis yang terlibat dalam konsert terbabit dipilih berdasarkan pencapaian mereka termasuk pengiktirafan di pelbagai anugerah, dengan masing-masing mempunyai repertoir tersendiri dalam bidang seni.
“Bella, sebagai contoh, dinobatkan sebagai ‘Celebrity Of The Year’ di TikTok Awards Malaysia 2024, sementara Marsha, Adira, Stacy, dan Nikky adalah pemenang di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dan juga Anugerah Juara Lagu (AJL),” katanya.