Advertisement

Yuran Laptop Ehsan Canselor UMS

Ums
Mohd Rashid (tiga dari kiri) diiringi Prof. Kasim (tiga dari kanan) menyerahkan laptop kepada Nor Fasha (kiri) dan Crisnanalina (dua dari kiri) – ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Tidak hanya yuran pendaftaran pengajian, dua pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang kurang berkemampuan turut menerima sumbangan komputer riba ehsan daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Menurut Setiausaha Perhubungan Tuan Yang Terutama, Datuk Mohd Rashid Mohd Tahir, sumbangan tersebut bagi membolehkan pelajar-pelajar berkenaan meneruskan pengajian dan merealisasikan impian masing-masing pada masa depan.

“Ini merupakan bantuan peribadi Tuan Yang Terutama Tun sendiri. Pada mulanya beliau terbaca dalam akhbar tempatan mengatakan bahawa ada pelajar yang tidak dapat melanjutkan pengajian untuk mendaftar sebagai pelajar di UMS.

“Jadi, Tun telah mengarahkan saya untuk berhubung dengan pihak UMS dengan Naib Canselor, kebetulan juga Tun adalah Canselor UMS beliau terpanggil untuk membantu membuat pembayaran yuran untuk adik-adik dari Paitan dan Tawau,” jelasnya.

Dalam pertemuannya bersama Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor dengan dua pelajar, Crisnanalina Jumis dan Nor Fasha Natashya masing-masing dari Paitan dari Tawau di sini, Mohd Rashid memaklumkan kesediaan Tun Juhar membantu mana-mana pelajar yang kurang bernasib baik.

“Selain yuran menyerahkan komputer riba, Tuan Yang Terutama Tun juga meminta saya untuk menyampaikan kepada UMS sekiranya ada masalah yang lain atau pelajar yang lain diminta Prof Kasim menyampaikan maklumat kepada Tun supaya Tun dapat membantu sedaya mungkin,” tambah beliau.

Sementara itu, anak keempat daripada lapan beradik, Nor Fasha Natashya ketika ditemui menyatakan syukur dan terima kasih kepada pihak Istana Seri Kinabalu atas bantuan yang diterimanya sambil berazam membuktikan kemampuannya dalam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan.

“Saya memang mahu memohon Ijazah Doktor Perubatan di UMS alhamdulillah saya dapat tetapi saya terpaksa menolak pada awalnya atas kekangan kewangan saya dan keluarga.

“Saya tiada memohon bantuan sebab saya punya rancangan asal saya mahu tangguh pengajian selama satu tahun untuk cari kerja untuk kumpul duit bayar yuran, macam yang kita tahu kursus perubatan ni dia punya yuran agak tinggi sekitar RM2,700 ke atas.

“Bapa saya sudah meninggal dunia, ibu saya mengharapkan bantuan daripada kerajaan. Saya ada tiga orang abang, ketiga-tiganya tidak sambung belajar jadi saya sedang membawa harapan besar daripada keluarga saya untuk mencapai cita-cita saya,” ujarnya.

Turut membawa harapan keluarga, seorang anak penoreh getah, Crisnanalina yang merupakan anak sulung daripada lima bersaudara yang ditawarkan pengajian dalam Fakulti Perhutanan Tropika (FPT).

Selepas dimaklumkan mengenai bantuan yuran pendaftaran, dia sangat bersyukur dan terus melepaskan pekerjaannya di salah sebuah restoran di Paitan untuk membuat persiapan ke UMS.

“Saya amat bersyukur sebab saya tidak sangka saya boleh dapat bantuan sampai saya dapat sambung di sini.

“Sebenarnya, saya mahu tolak tapi saya berfikir mungkin kalau saya tolak sayang juga jadi, selepas saya tahu ada bantuan saya terus berhenti kerja dan urus dokumen-dokumen saya untuk masuk ke UMS,” kongsinya.

Mungkin jumlah bantuan yuran pendaftaran pengajian Nor Fasha dan Crisnanalina yang masing-masing berjumlah RM2,715 dan RM2,435 bagi sesetengah masyarakat masih kecil, namun nilai itu amat besar maknanya kepada golongan yang memerlukan. — JABATAN PENERANGAN SABAH