KUALA LUMPUR – Kharisma Music mengumumkan bakal menganjurkan konsert ‘Raisa: Teristimewa Di Kuala Lumpur’ yang dijadualkan berlangsung pada 3 November ini di Megastar Arena bermula jam lapan malam.
Ketua Pengarah Eksekutif dan Pengasas Kharisma Music, Ahmad Jeffny berkata konsert terbabit bukan sekadar persembahan muzik yang hebat, tetapi juga peluang untuk merasai keindahan muzik Raisa secara langsung.
Dalam pada itu, penyanyi terkenal Indonesia, Raisa berkata segala persediaan dilakukan secara langsung oleh beliau sendiri bersama pasukannya.
Raisa, yang dikenali menerusi single pertamanya ‘Serba Salah’ dari album sulungnya pada 2011, telah meraih pelbagai anugerah termasuk ‘Artis Baru Terbaik’ di Anugerah Musik Indonesia ke-15, dengan vokal yang mengagumkan, Raisa terus memikat hati jutaan peminat di seluruh rantau Asia.
Konsert kali ini adalah sebahagian daripada jelajah muzik Raisa yang sangat dinanti-nantikan, di mana beliau akan mempersembahkan lagu-lagu hit seperti ‘Kali Kedua’, ‘Jatuh Hati’ dan ‘Mantan Terindah’.
Penonton akan disajikan dengan pengalaman yang tidak dapat dilupakan, termasuk persembahan melebihi 20 buah lagu dan kerjasama dengan iringan pemuzik profesional yang diterbangkan khas dari Indonesia.
Konsert ini dijadualkan berlangsung lebih dari dua jam, lengkap dengan reka bentuk pentas yang menarik serta kesan audio visual yang ‘teristimewa’.
Pembeli tiket VVIP dan VIP juga akan berpeluang untuk berinteraksi dengan Raisa dalam sesi ‘meet & greet’.