Advertisement

Majlis Fatwa Sabah Putuskan GISBH Menyeleweng Dari Islam

Gisbh
Logo GISB Holdings (GISBH)

KOTA KINABALU, SABAH – Majlis Fatwa Negeri Sabah memutuskan ajaran, amalan, pegangan dan fahaman ahli GISB Holdings (GISBH) dan rangkaian syarikat gabungannya adalah bercanggah serta menyeleweng daripada ajaran Islam.

Memetik sumber Berita Harian, menerusi satu kenyataan Pejabat Mufti Negeri Sabah yang dimuat naik di laman Facebook hari ini, Majlis Fatwa Negeri Sabah mendapati tindakan ahli GISBH di negeri ini bertentangan dengan ajaran Islam yang berteraskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah al-Asyairah dan al-Maturidiah.

Ketetapan itu, katanya, diputuskan pada Muzakarah Khas Majlis Fatwa Negeri Sabah Tahun 2024 yang bersidang pada 1 dan 2 Oktober lalu.

Kenyataan itu menyebut, penyelewengan dilakukan ahli GISBH meliputi aspek akidah, syariah, akhlak, kekeluargaan, kemanusiaan, muamalah ekonomi dan membawa kepada perpecahan umat serta boleh mengancam keselamatan negara.

“Penyelewengan dari sudut akidah antaranya meyakini Abuya (Ashaari Mohammad) ghaib dan akan muncul bersama Imam Mahdi (Syeikh Suhaimi) sebagai pembantu Imam Mahdi di akhir zaman.

“Ia juga meyakini amalan bertabarruk yang bercanggah dengan syarak seperti bertabarruk dengan apa-apa yang digunakan oleh pemimpin GISBH antaranya makan dan minum air basuhan tangan, rendaman gigi, janggut dan lain-lain,” kata kenyataan itu.

Bagi penyelewengan dari sudut syariah, katanya, antara yang dikesan dakwaan bahawa solat Jumaat tidak wajib kerana belum tertegak kerajaan Imam Mahdi.

Katanya, ahli jemaah GISBH juga menunaikan solat Jamak Qasar secara berterusan dengan alasan dalam perjuangan fisabilillah.

“Penyelewengan dari sudut muamalah ekonomi pula antaranya penyalahgunaan rumah amal untuk mendapatkan sumbangan daripada kerajaan dan orang ramai,” katanya.

Katanya, GISBH juga dikesan mengeksploitasi ahli atau pekerja seperti kerja tanpa gaji dan pembayaran wang tugasan harian selain penyelewengan lain yang bercanggah dengan ajaran Islam.

“Sehubungan itu mana-mana ahli GISBH dan orang Islam yang mengamalkan fahaman dan ajaran GISBH wajib bertaubat serta meninggalkan fahaman dan ajaran itu dengan segera,” katanya.