KOTA KINABALU, SABAH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan inisiatif KITA GEMPUR.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Ali berkata inisiatif berkenaan merupakan inisiatif baharu kerajaan yang dilaksanakan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Pada hari ini, Perdana Menteri melancarkan satu gerakan yang kita namakan Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan atau GEMPUR manakala KITA pula adalah akronim kepada bagi keterlibatan empat sektor iaitu Kerajaan, Industri, Tatakelola dan Awam.
“Penglibatan orang awam dan semua komponen adalah penting dalam kita menjayakan gerakan ini.
“Gerakan ini sejajar dengan penegasan Kerajaan Madani sejak awal iaitu kerajaan mahu melihat subsidi yang diberikan oleh kerajaan sampai kepada golongan sasar dan mengelakkan ketirisan yang khususnya melibatkan barang kawalan bersubsidi.
“Kerajaan menekankan kepada aspek pematuhan aktiviti perniagaan dengan kod etika dan juga perundangan contohnya penipuan dalam promosi seperti penipuan di platform e-dagang.
“Melalui gerakan ini kita memberikan komitmen setiap aduan daripada awam itu kita susul.
“Namun, penting untuk awam memberikan laporan aduan di platform-platform rasmi yang disediakan berserta dengan maklumat yang boleh membantu KPDN untuk mengambil tindakan lanjut dan mengadakan siasatan,” katanya ketika ditemui media selepas Program Madani Rakyat 2024 Sayangi Sabah di Kompleks Sukan Likas di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Armizan memaklumkan peningkatan peruntukan bagi Program Jualan Rahman ditingkatkan dari RM200 juta kepada RM300 juta dalam belanjawan 2025 yang dibentangkan semalam.
“Melalui peruntukan ini kita akan mengadakan sesi libat urus segera bagaimana kita dapat mengembangkan Program Jualan Rahmah ini untuk memastikan kumpulan sasar yang lebih luas dapat kita liputi.
“Selain itu, dalam bajet ini juga, Kementerian Kewangan meletakkan satu komponen RM 700 juta lagi peruntukan untuk program-program yang terkait dengan aspek bagaimana dapat kita mitigate dan juga intervene jika berlakunya sebarang isu kenaikan kos sara hidup khususnya yang berkaitan dengan harga barang dan perkhidmatan.
“Dan paling penting juga, KPDN dilihat merupakan satu kementerian penguatkuasaan sebagaimana telah diumumkan satu aspek dari segi memperkasa penguatkuasaan tersebut, peruntukan disalurkan sebanyak RM60 juta kepada KPDN dan juga kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk memperkasakan aspek penguatkuasaan.
“Namun, penting untuk kita memastikan melalui pemantauan dan penguatkuasaan supaya subsidi itu akan dapat sampai kepada golongan sasar,” ujarnya. — JABATAN PENERANGAN SABAH