Advertisement

73 Penduduk Beit Lahiya Dibunuh Tentera Israel Dalam Serangan Udara





Gaza
Serangan udara Israel yang melanda beberapa rumah dan bangunan kediaman bertingkat di bandar Beit Lahiya di utara Gaza pada Sabtu menyebabkan berpuluh-puluh mangsa terkorban semalam

GAZA, PALESTIN – Serangan udara Israel yang melanda beberapa rumah dan bangunan kediaman bertingkat di bandar Beit Lahiya di utara Gaza pada Sabtu menyebabkan berpuluh-puluh mangsa terkorban semalam.

Pejabat media Hamas berkata sekurang-kurangnya 73 orang telah terbunuh dalam serangan itu.

Memetik laporan Reuters, tentera Israel berkata ia sedang meneliti insiden itu tetapi mendakwa jumlah yang dikeluarkan oleh pejabat media Hamas adalah dibesar-besarkan.

Ia berkata angka itu tidak sejajar dengan maklumatnya sendiri, peluru tepat yang digunakan atau ketepatan serangan, yang dikatakan ditujukan kepada sasaran Hamas.

Pegawai Kesihatan Palestin, Medway Abbas berkata, operasi menyelamat terhalang oleh pemotongan perkhidmatan telekomunikasi dan internet untuk hari kedua.

Terdahulu pada hari itu, Kementerian Kesihatan Gaza berkata serangan tentera Israel membunuh 35 rakyat Palestin di seluruh kawasan itu.

“Ini adalah perang pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik.

“Pendudukan ini telah melakukan pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan di Beit Lahiya,” kata Pejabat Media Hamas.