Advertisement

Jadikan Perbezaan Satu Kekuatan – Anwar

Anwar
Anwar ketika menyampaikan ucapan ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia untuk menjadikan perbezaan sebagai sumber kekuatan.

Menurut beliau, perbezaan boleh menyebabkan perpecahan dan pergaduhan tetapi ia juga boleh menyebabkan perpaduan sesebuah negara menjadi lebih kuat.

“Tidak mudah untuk jayakan satu pasukan yang terdiri daripada pelbagai suku kaum, lain-lain agama.

“Tetapi jika rakyat itu bijak, dia tahu perbezaan boleh menyebabkan perpecahan dan pergaduhan, perbezaan juga boleh menyebabkan kita lebih kuat.

“Mana ada negara di mana penguasaan bahasa sebutlah bahasa penting, Bahasa Melayu kita ke depan, Bahasa Inggeris kita utamakan, Bahasa Cina banyak yang menguasai dan ini penting dalam ekonomi di dunia ini.

“Saya bersyukur kerana rakyat Sabah pilih untuk jadikan ini kekuatan untuk semangat perpaduan rakyat di negara kita,” ujarnya ketika berucap merasmikan Program Madani Rakyat 2024 Sayangi Sabah di Pekarangan Kompleks Sukan Likas di sini, pada Sabtu.

Sementara itu, beliau juga memberi jaminan rakyat tidak perlu bimbang dengan penyasaran subsidi petrol kerana 85 peratus rakyat kekal dengan subsidi berkenaan.

“Rakyat biasa di negara ini tidak perlu bimbang kerana akan kekal menikmati harga pada kadar RM2.05.

“Petrol di Malaysia paling murah berbanding dengan Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina dan Arab Saudi pengeluar minyak terbesar di dunia harga minyaknya sekarang RM2.65.

“Kepada rakyat jadi jangan bimbang, 85 peratus rakyat kekal dengan subsidi maksudnya harga tetap RM2.05 berubah tapi yang 15 peratus yang atas, yang kaya bayarlah lebih sikit, kita tak bayar tinggi sampai lebih daripada harga pasaran kalau harga pasaran RM2.65 kita bayar RM2.65,” ujarnya.

Dalam majlis yang sama, turut diadakan peluncuran plat nombor istimewa MADANI, penyampaian geran tanah Pengukuran Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) dan bantuan Sejati MADANI.

Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Ali, Menteri Pembangunan Rakyat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib dan Menteri-menteri Kabinet Persekutuan serta Negeri. — JABATAN PENERANGAN SABAH