Advertisement

PROKESA Rai 55 Orang Kerdil Sabah

Prokesa
Jenddy (tengah), bersama jemputan yang hadir bergambar bersama Orang-orang Kerdil yang diraikan ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Persatuan Orang Kerdil Sabah (PROKESA) meraikan 55 orang kerdil dalam Majlis Jamuan Makan Malam Amal sempena sambutan Hari Orang Kerdil Sedunia 2024.

Menurut Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib, PROKESA yang ditubuhkan pada 2021 memainkan peranan penting membantu warga kerdil agar tidak terpinggir dalam masyarakat.

Sejak penubuhan Prokesa pada 7 April 2021 sehingga kini telah memainkan peranan penting membantu mengetengahkan warga kerdil khasnya di Sabah agar tidak terpinggir dari masyarakat seterusnya mampu bersaing untuk menjalani kehidupan yang semakin mencabar ini.

“Untuk pengetahuan, misi Prokesa adalah membantu golongan orang kerdil yang susah dengan menghulurkan sumbanagan keperluan, mengadakan pelbagai aktiviti dan program berbentuk kebajikan dan kemasyarakatan.

“Selain itu, mengadakan kaunseling-kaunseling memupuk nilai-nilai murni dan menanamkan kerjasama, persefahaman serta melahirkan semangat masyarakat kerdil yang dinamik, berdedikasi, produktif dalam ekonomi, kesedaran dalam sosial serta rasional untuk faedah sendiri.

“Justeru, saya menyeru agar Prokesa dapat bekerjasama dengan NGO lain, agensi swasta mahupun agensi kerajaan atau kementerian yang berkepentingan demi memperkasa matlamat dan perancangan program dan aktiviti yang dilaksanakan di masa depan,” katanya.

Teks beliau dibacakan oleh Setiausaha Politik Menteri KPMKR, Jenddy N.C Sanggau dalam majlis berkenaan di sini, pada Sabtu.

Sementara itu, Presiden PROKESA, Asna @ Asnah Yusop memaklumkan ramai orang kerdil di Sabah masih belum berdaftar dalam persatuan disebabkan pelbagai faktor.

“Setakat ini, hanya 55 yang telah berdaftar dengan persatuan, tapi di luar sana ramai golongan ini tidak berdaftar ekoran kekangan dari pelbagai faktor antaranya kekangan dari keluarga yang segan untuk mengetengahkan golongan kerdil ini kepada masyarakat, pendaftaran tidak boleh dilakukan sekiranya tanpa persetujuan keluarga.

“Namun, kita akan terus mendekati mereka, bantu mereka dan libatkan juga dalam pelbagai program dan aktiviti bersama masyarakat agar mereka tahu kemampuan dan bakat mereka seterusnya mampu meyakinkan keluarga mereka usaha persatuan dalam membantu orang kerdil,” katanya.

Asna memaklumkan pelbagai program telah dilaksanakan dan diatur untuk mengetengahkan golongan ini antaranya program sokongan psikososial atau inisiatif pemulih bersama LPPKN, kursus masak-memasak, bakeri, bengkel minda terapi, kursus komputer dan sebagainya bagi membantu golongan ini berdiri bersama masyarakat. — JABATAN PENERANGAN SABAH