KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak 435 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di Sabah bagi tahun 2023.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib mengutarakan kebimbangannya terhadap trend peningkatan kes tersebut berdasarkan laporan yang diterima Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah.
“Pada tahun 2022, sebanyak 382 kes keganasan rumah tangga di rekodkan manakala pada tahun ini, sehingga Februari sebanyak 107 kes telahpun dilapor dan direkodkan oleh pihak PDRM.
“Peningkatan angka ini amat membimbangkan dan saya menyeru kepada semua pihak yang berkaitan terutama Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) untuk mempergiatkan program kesedaran agar masyarakat lebih peka terhadap impak keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak.
“Isu keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak seringkali menjadi perhatian umum kerana ia melangkaui batas sempadan negeri, agama serta bangsa dan budaya dan ia juga merupakan isu global yang mana turut dialami di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Program Kesejahteraan Mendepani Keganasan Rumah Tangga “Take A Step Towards Violence Against Women” sempena Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2024 anjuran JHEWA di sini, pada Isnin.
Menurut beliau, bagi menangani isu ini, KPMKR telah memasukkan Program Kesedaran Menangani Keganasan Wanita melalui ‘Program Outreach Santuni Wanita’ seliaan JHEWA.
“Program ini merupakan inisiatif baharu berimpak tinggi sektor modal insan dan kesejahteraan rakyat selaras dengan hala tuju KPMKR tahun 2021 hingga 2025 dibawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Sehingga tahun ini, Program Outreach Santuni Wanita telah diadakan di 55 buah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan penyertaan lebih 4900 orang peserta.
“Program ini turut menyediakan 16 panel peguam dan enam panel khidmat kaunselor sebagai langkah kepada mangsa atau peserta untuk mendapatkan perkhidmatan sokongan dan perlindungan,” ujarnya.
Jelas James selain keganasan secara fizikal, kekerasan melalui ugutan, penghinaan dan menjatuhkan maruah wanita juga turut dikira sebagai keganasan dalam bentuk penderaan psikologi dan emosi manakala masalah didorong untuk bergantung kepada pasangan dan diasingkan dari mendapat sokongan luar boleh dikategorikan sebagai penderaan sosial.
Beliau menyeru agar semua lapisan masyarakat untuk mengambil tanggungjawab bersama dalam memerangi isu keganasan rumah tangga dan menekankan bahawa dengan komitmen dan usaha bersama, persekitaran yang lebih selamat dapat diwujudkan bagi meningkatkan penyertaan rakyat khususnya wanita dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, sosial dan kepimpinan.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pembangunan) KPMKR Walter Kenson, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian Moira David @Susan dan Pengarah JHEWA Haslina Ismail. — JABATAN PENERANGAN SABAH