KOTA KINABALU, SABAH – Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Sabah sentiasa membantu masyarakat sejak ditubuhkan 41 tahun lalu.
Pengerusi PUSPANITA Cawangan Sabah, Datuk Dr. Nuinda Alias berkata, sejak ditubuhkan pada 24 September 1984, persatuan itu telah banyak membuat program kemasyarakatan.
“Dalam mencecah usia 41 tahun PUSPANITA di Sabah ini, saya amat berbangga dengan pencapaian PUSPANITA Cawangan Sabah, terutamanya dalam melaksanakan pelbagai program dan aktiviti yang memberi manfaat kepada ahli dan masyarakat sekeliling.
“Pada peringkat awal dulu kita cuma nampak kepentingan itu ahli sahaja sekarang ini kita buka ruang dan kembangkan lagi untuk ahli itu sendiri menyumbang kepada masyarakat.
“Banyak program yang dibuat berdasarkan program masyarakat misalnya dalam program Covid-19 dulu kita banyak membantu dan bergabung tenaga walaupun kita sukar untuk bersama dalam ruang itu kerana halangan tetapi dari segi bantuan kami bersatu padu untuk membantu masyarakat.
“Kami telah membuat satu tabung We Help bukan sahaja kepada ahli tetapi juga telah disumbangkan kepada mangsa misalnya mangsa banjir dan kecelakaan serta masyarakat yang terlibat dengan masalah keluarga dan sebagainya.
“Selain kita juga membuat satu ruang smart partnership dengan NGO lain dalam program membantu masyarakat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Ke-41 PUSPANITA Cawangan Sabah di sini, pada Ahad.
Nuinda bersyukur kerana banyak pihak lain ingin bekerjasama dalam membangunkan program bersama masyarakat, orang kampung dan kanak-kanak istimewa.
“PUSPANITA bekerjasama, bergabung bersama beberapa pihak lain sebagai contoh dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membantu anak-anak golongan istimewa ini.
“Itu adalah tanggungjawab kami untuk membantu jadi kita galakkan kepada ahli misalanya kakitangan kerajaan perempuan dan isteri kepada penjawat awam boleh bersama dengan PUSPANITA dimanapun mereka berada kerana persatuan ini menyeluruh di Sabah”, ujar beliau.
Nuinda berharap dengan jumlah keahlian PUSPANITA yang hampir mencecah 10 ribu orang di Sabah dapat meningkatkan lagi sumbangan kepada masyarakat di negeri ini.
Turut hadir dalam majlis tersebut Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Diyanah Abdullah. — JABATAN PENERANGAN SABAH