TAWAU: Cubaan seorang lelaki warga asing berumur 30an membawa keluar sebanyak lebih kurang 55 tandan sawit milik sebuah syarikat gagal apabila suspek ditahan oleh mandur ladang yang kemudian bertindak menghubungi majikan dan seterusnya memaklumkan pihak polis.
Polis Tawau dalam satu kenyataan berkata, sepasukan polis daripada Balai Polis Bandar Sri Indah yang menerima makluman kes tersebut segera pergi ke lokasi kejadian iaitu sebuah ladang sawit bertempat di Batu 11 Jalan Membalua Tawau.
“Pemeriksaan awal pihak polis mendapati suspek telah memandu sebuah kenderaan jenis ‘single cab’ bagi membawa muatan penuh berisi kelapa sawit dipercayai dicuri di ladang sawit yang dianggarkan bernilai lebih kurang RM750,” katanya.
Suspek bersama barang kes dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.