Advertisement

Sembunyi Bayi Baru Lahir Dalam Beg, Pelajar Malaysia Di UK Berhadapan Hukuman Bunuh

Teo
Teo Jia Xin ( Sumber Foto: Polis West Midlands UK )

KUALA LUMPUR – Ketakutan mendorong seorang pelajar Malaysia memasukkan bayinya yang baru lahir dalam kotak bijirin dan menyembunyikannya dalam beg pakaian sehingga meninggal dunia.

Mahkamah Warwick Crown di United Kingdom (UK) mensabitkan Teo Jia Xin, 22, dengan kesalahan membunuh semalam.

Memetik laporan BBC, Teo tiba dari Malaysia awal tahun ini untuk belajar di Universiti Coventry dan melahirkan bayinya dalam tempoh penuh pada 4 Mac.

Laporan itu menyebut Teo pergi ke hospital dengan menunjukkan tanda-tanda melahirkan anak tetapi menafikannya selepas disoal siasat oleh kakitangan hospital.

Walau bagaimanapun, dia kemudian mengaku telah melahirkan anak, dan hanya memberitahu polis tempat dia menyembunyikan bayi itu dua hari kemudian.

Polis berkata Teo menolak bantuan perubatan dan melahirkan anak di rumah, sambil menyembunyikannya daripada rakan serumahnya kerana dia tidak mahu keluarga dan rakannya di Malaysia mengetahui perkara itu yang akan menjejaskan pelajarannya.

Di mahkamah, dia mendakwa dia mendengar suara yang menyuruhnya membunuh atau mencederakan bayi itu, tetapi juri menolak pembelaannya.

Pihak pendakwaan berhujah bayi itu “hidup selepas dilahirkan dan boleh bertahan tetapi Jia Xin Teo membuat keputusan untuk meletakkannya di dalam kotak bijirin kerana mengetahui bahawa ia akan membunuhnya”.

Hukuman Teo akan dijatuhkan di kemudian hari.