KOTA KINABALU: Seorang pelajar Malaysia di United Kingdom (UK) telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup, dengan tempoh minimum 17 tahun atas kesalahan membunuh bayinya yang baru lahir.
Kes itu menarik perhatian ramai selepas pelajar itu dilaporkan meletakkan bayi itu dalam kotak bijirin sejurus selepas dilahirkan pada Mac tahun ini dan menyembunyikan kotak itu dalam beg pakaian.
Perkhidmatan Pendakwaan Crown UK (CPS) berkata bayi itu hidup selepas dilahirkan dan boleh bertahan tetapi Jia Xin Teo membuat keputusan untuk membunuhnya.
Teo, 22, dijatuhi hukuman semalam di Mahkamah Warwick Crown berikutan sabitan membunuhnya, menurut kemas kini terkini di laman web CPS selepas didapati bersalah pada Khamis.
Teo tiba di UK awal tahun ini untuk menghadiri Universiti Coventry, menyembunyikan kehamilannya dan melahirkan anak pada 4 Mac.
Polis menemui bayi itu dua hari kemudian dalam keadaan meninggal dunia.
Teo bagaimanapun menafikan membunuh bayinya dan mendakwa telah mendengar suara yang mengarahkannya untuk membunuh kanak-kanak itu.
Bagaimanapun, juri menolak pembelaannya dan mensabitkan kesalahan membunuh.
James Leslie Francis dari CPS berkata Teo menyembunyikan kehamilannya daripada semua orang yang dia kenali dan tiba di UK dengan mengetahui kemungkinan dia akan bersalin di sini.
“Dia mempunyai peluang untuk mendapatkan bantuan tetapi sebaliknya memilih berahsia, malah berbohong kepada orang yang rapat dengannya, kepada penyedia penjagaan kesihatan, dan kepada polis,” ulasnya.