Advertisement

500 Pemilik Motosikal Berkuasa Tinggi Jayakan BIIBBF Ke-22

Bike
Antara pemilik motosikal berkuasa tinggi yang menyertai City Ride BIIBBF ke-22 ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Lebih 500 pemilik motosikal berkuasa tinggi berhimpun menjayakan program Borneo Island International Big Bike Festival (BIIBBF) Ke-22 di perkarangan Sabah International Convention Centre (SICC), pada Sabtu.

Presiden Sabah Big Bikers Association (SBBA) Datuk Osman Ahmed berkata, program tersebut dianjurkan bertujuan untuk menghimpunkan pemilik dan peminat motosikal berkuasa tinggi dalam satu wadah bagi mengeratkan hubungan setia kawan antara kelab dan persatuan di kepulauan Borneo.

“BIIBBF kali ini turut mendapat penyertaan daripada negara India, Singapura, Indonesia, Brunei Darussalam dan beberapa negara lain termasuk Malaysia dengan penyertaan seramai 1,150 orang.

“Pada hari ini (semalam) kita akan melakukan program City Ride iaitu konvoi bermotosikal sejauh 20 kilometer yang akan bergerak dari SICC menuju ke Universiti Malaysia Sabah, 1Borneo Hypermall, Jalan Lintas, Jalan Penampang Bypass, Sutera Harbour dan kembali semula ke tapak festival di SICC,” ujarnya ketika ditemui media.

Pada majlis tersebut, Osman turut mentuai konvoi City Ride dengan penyertaan lebih 300 buah motosikal berkuasa tinggi yang dianggotai ahli-ahli PEMODA dari Brunei, IMBI dari Indonesia, BIBB (Sarawak) dan LA Riders mewakili Wilayah Persekutuan Labuan yang disempurnakan Ketua Eksekutif Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA) Datuk Seri Panglima Hashim Paijan.

Osman turut mengalu-alukan penyertaan daripada peminat motosikal berkuasa tinggi terutama golongan muda untuk menyertai persatuan-persatuan yang ada bagi merancakkan lagi aktiviti sihat melalui sukan permotoran.

“Harapan agar penganjuran aktiviti sukan motosikal berkuasa tinggi ini dapat membantu kerajaan dalam menarik kemasukan pelancong serta meningkatkan ekonomi negeri melalui sukan permotoran selain mengalu-alukan golongan muda untuk terlibat dalam persatuan bagi merancakkan aktiviti sihat di kalangan belia,” katanya. — JABATAN PENERANGAN SABAH