Advertisement

Lelaki Dikhuatiri Dibaham Buaya Ketika Memancing Belum Ditemui

TAWAU: Seorang lelaki dikhuatiri menjadi mangsa baham buaya semasa menjalankan aktiviti memancing di Ladang Palm Rides, Kalabakan, Tawau pada Ahad lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 7.24 malam Ahad.

“BBP Tawau terima panggilan kecemasan daripada IPD Kalabakan bahawa terdapat seorang mangsa lelaki, 36 tahun dikhuatiri dibaham buaya. 

“Menurut maklumat awal dari pemanggil, iaitu saksi telah melihat mangsa dibaham buaya semasa menjalankan aktiviti memancing di sungai,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Katanya lagi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua, iaitu Isnin dimulakan pada jam 8 pagi.

“Pasukan Bomba bersama agensi penyelamat lain menjalankan operasi SAR dengan radius pencarian 3.2 kilometer dari lokasi mangsa dikhuatiri dibaham buaya dan mangsa masih belum dijumpai.

“Operasi kemudian ditangguhkan pada jam 7.55 petang semalam dan disambung pada hari ini,” jelasnya.

Maklumat pencarian mangsa akan sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa.