Advertisement

SEDIA Diarah Promosikan Teknologi Dron Untuk Sabah





Phoong
Phoong melihat sistem pengoperasian dron jarak jauh ( Sumber Foto: Ihsan MIDE )

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) untuk terus mempromosikan teknologi dron sebagai alat peningkatan produktiviti dan pemantauan projek pembangunan.

“Ini kerana teknologi dron telah membantu SEDIA dalam mempercepatkan perancangan tanah dan proses pemantauan alam sekitar selaras dengan objektif pembangunan negeri.

“Tambahan pula, SEDIA mempunyai peranan penting dalam mengukuhkan ekonomi Sabah melalui Pelan Tindakan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) 2.0.

“Melalui inisiatif ini, SEDIA menyokong pelaburan dalam sektor pertanian, infrastruktur dan teknologi hijau selaras dengan visi Sabah untuk mencapai pembangunan mampan dan daya saing global,” kata Hajiji pada Hari Terbuka Drone Sabah di SICC di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Phoong Jin Zhr.

Hajiji berkata, kerajaan negeri mahu menggalakkan lagi penggunaan teknologi dron yang telah digunakan dalam banyak sektor ekonomi termasuk pertanian, pelancongan, pembinaan, logistik dan keselamatan.

“Ia juga telah membantu dalam menyelesaikan isu kekurangan pekerja dalam sektor pertanian.

“Oleh itu, saya menyeru kerjasama yang lebih erat antara kerajaan, industri, penyelidik dan masyarakat untuk menyesuaikan teknologi dron bagi memacu ekonomi Sabah,” kata Hajiji, yang juga pengerusi SEDIA.

Sabah tidak seharusnya ketinggalan dalam penggunaan teknologi, katanya, sambil menambah bahawa kemajuan teknologi juga antara keutamaan utama dalam dasar mesra pelabur negeri.