Advertisement

JIM Sabah Usir 24 Tahanan PATI China Dari Depot Imigresen Tawau





Jim
24 Tahanan PATI warganegara China beratur untuk diusir pulang melalui udara ( Sumber Foto: Ihsan JIM Sabah )

TAWAU, SABAH – Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (JIM SABAH) telah mengusir seramai 24 orang tahanan Pendatang Tanpa Izin (PATI) warganegara China dalam pelaksanaan Program Pemindahan tahanan PATI untuk kategori Usir melalui udara bagi tahun 2024.

Pengarahnya, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata kesemua tahanan lelaki berumur antara 31 tahun sehingga 64 tahun.

“Semua tahanan ini hanya melibatkan tahanan dari Depot Imigresen Tawau dan telah dihantar pulang melalui udara dengan penerbangan secara terus ke Guangzhou melalui Lapangan Terbang Tawau.

“Hukuman yang dikenakan ke atas 24 orang PATI ini adalah berdasarkan proses perundangan negara iaitu seramai 20 orang telah dikenakan hukuman bayaran kompaun berjumlah RM10,000 seorang dan diusir balik ke negara asal.

“Manakala baki empat orang hanya tindakan jabatan iaitu dipindahkan balik ke negara asal sahaja kerana mengambil kira faktor usia PATI yang telah lanjut,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Jelsnya, kesemua PATI yang dipindahkan telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan– Peraturan Imigresen 1963.

Ia menjadikan seramai 34 orang tahanan warganegara China telah dipindahkan dari Sabah sepanjang tahun 2024 dan statistik keseluruhan pemindahan warga asing yang melibatkan pengangkutan udara sahaja adalah seramai 256 orang.

“Berdasarkan rekod sehingga 30 Oktober 2024, JIM Sabah telah berjaya melaksanakan penghantaran pulang tahanan depot dari seluruh negeri Sabah sebanyak 98 kali melibatkan pemindahan melalui darat, laut dan udara dengan jumlah keseluruhan PATI seramai 6873 orang.

“Mereka terdiri daripada 4925 orang lelaki dewasa, 1159 orang perempuan dewasa, 450 orang kanak-kanak lelaki dan 339 orang kanak-kanak perempuan,” katanya.

Warganegara Filipina mendahului senarai itu dengan 4805 individu, diikuti Indonesia (1855), Pakistan (88), Vietnam (39), China (34) dan lain-lain warganegara (52 orang).