TAWAU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ketiga terhadap seorang lelaki yang dikhuatiri menjadi mangsa baham buaya ketika melalukan aktiviti memancing di sungai dalam kejadian di Ladang Palm Rides, Kalabakan Ahad lalu masih belum menemui sebarang petunjuk.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, SAR hari ketiga, iaitu kelmarin dimulakan pada jam 8 pagi dengan kekuatan seramai 5 anggota pasukan bomba yang diketuai oleh Komander Operasi, Syed Muhd. Rudhaifi dari BBP itu.
“Turut bersama-sama membantu dalam operasi kali ini adalah, 11 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Umas dan Kalabakan, serta agensi lain termasuk 5 anggota PDRM, 4 dari Jabatan Hidupan Liar, 4 anggota APM dan 50 penduduk kampung.
“Pasukan Bomba bersama agensi penyelamat lain menjalankan operasi SAR dengan radius pencarian 3.5 kilometer dari lokasi mangsa, Vinsensius Ndetu, 36 tahun dikhuatiri dibaham buaya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Bagaimanapun katanya, usaha pencarian tersebut tidak membawa sebarang petunjuk mahupun hasil.
Operasi kemudian ditamatkan pada jam 5 petang dan disambung pada hari ini.
Tambahnya, maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.