Advertisement

Kegagalan Laksana Peruntukan Di Sabah Tanggungjawab Kementerian Persekutuan – Madius

KUALA LUMPUR: Kegagalan melaksanakan semua peruntukan yang diberi kepada Sabah perlu dipertanggungjawab kepada kementerian terlibat, bukannya kepada Kerajaan Sabah.

Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) berkata, ia kerana pengawal kewangan peruntukan tersebut adalah Ketua Setiausaha (KSU) kementerian persekutuan masing-masing.

“Terima kasih juga diatas peruntukan pembangunan sebanyak RM6.7 bilion kepada Sabah dalam Bajet 2025 ini.

“Cumanya kalau peruntukan itu gagal dilaksanakan tepat pada masanya, yang bertanggungjawab adalah KSU dan bukannya Kerajaan Sabah.

“Ini kerana peruntukan tersebut adalah peruntukan Pembangunan Persekutuan yang dilaksanakan di Wilayah Sabah sepertimana dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Madius berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2025 di Persidangan Dewan Rakyat, di sini, pada Selasa.

Menurutnya, rakan-rakan Ahli Parlimen Sabah sering mencadangkan wang yang gagal dilaksanakan oleh kementerian, agensi dan jabatan persekutuan pada tahun semasa, dimasukkan dalam Tabung Amanah atau diserahkan kepada Kerajaan Sabah.

“Ini tidak mungkin berlaku sebab duit itu tetap duit persekutuan dan di bawah tanggungjawab persekutuan.

“Secara prinsipnya kalau gagal, yang gagal adalah kerajaan persekutuan.

“Tuaran ingin bertanya, dalam Bajet 2022, Bajet 2023 dan Bajet 2024, berapa peratuskah daripada peruntukan tersebut yang yang gagal dilaksanakan?

“Dan apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk mengelakkan kegagalan tersebut dimasa akan datang,” tegas Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu lagi.