SHAH ALAM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Operasi Khas Motosikal secara besar-besaran bermula hari ini hingga 31 Disember di seluruh negara.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, operasi itu dilaksanakan susulan statistik membimbangkan dengan peningkatan trend kadar kemalangan dengan kematian secara bulanan yang telah direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, pelaksanaan operasi ini melibatkan penunggang dan pemilik motosikal bagi pematuhan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.
“Kadar kemalangan melibatkan motosikal mencatatkan sebanyak 1,908 atau 70 peratus sejak akhir ini.
“Operasi ini menyasarkan pengurangan jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya bagi tempoh sukuan ketiga dan keempat tahun ini,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, ia melibatkan mengesan serta mengambil tindakan terhadap penunggang dan pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.
“Fokus bagi meminimumkan kadar kemalangan dan kematian ini melibatkan tumpuan kesalahan seperti tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan melanggar lampu isyarat merah.
“Selain itu, kesalahan lain melibatkan ubah suai kenderaan secara melampau, tidak memakai topi keledar, lumba haram serta kesalahan lain melibatkan teknikal turut sama diberi perhatian,” katanya seperti yang dilaporkan Sinar Harian.
Menurutnya, JPJ memohon kerjasama pengguna jalan raya khususnya penunggang serta pembonceng motosikal untuk sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.
“Sentiasa bertoleransi bersama pengguna lain demi keutamaan keselamatan ketika di jalan raya.
“Usaha ini juga untuk meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya di negara ini selaras dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM),” katanya.
Tambahnya, orang ramai diseru melaporkan aduan secara terus atau real time menerusi Aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau emel [email protected] berserta dengan butiran lengkap aduan.