Ramai keluarga Cina Malaysia yang berkemampuan memilih untuk menghantar anak mereka belajar di luar negara dan menggalakkan mereka untuk bekerja atau menetap di sana.
Namun begitu, apabila Malaysia cuba melaksanakan dasar-dasar progresif seperti di negara Barat, masyarakat Cina cenderung untuk mengadu.
“Ini adalah dilema yang dihadapi masyarakat Cina,” tulis Christine Cheah kepada Sinar Harian.
Jelasnya, masyarakat Cina Malaysia keberatan menerima hakikat kadar cukai terpaksa meningkat, undang-undang buruh diperketatkan dan syarat untuk menjalankan perniagaan akan menjadi lebih sukar.
“Ramai ahli perniagaan Cina melahirkan rasa tidak puas hati dengan pengumuman belanjawan lalu.
“Tiga dasar paling memberi kesan kepada mereka ialah peningkatan gaji minimum, pelaksanaan levi berperingkat dan peluasan perlindungan KWSP kepada pekerja asing.
Beliau berpendapat ahli perniagaan Cina di Malaysia perlu menimbang sama ada lebih baik menerima keuntungan berkurang atau menghadapi kekurangan pekerja.
“Memang benar, dasar-dasar ini menambah cabaran untuk industri tempatan.
“Namun, undang-undang buruh yang serupa, malah lebih ketat sudah menjadi standard di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Australia, di mana ramai rakyat Malaysia telah berhijrah dan berjaya menyesuaikan diri.
Christine menyambut baik langkah Menteri Sumber Manusia, Sim Chee Keong dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim melindungi kebajikan pekerja asing, serta pengenalan sistem levi pelbagai peringkat.
“Sistem ini menentukan pengambilan pekerja asing berdasarkan nisbah pekerja tempatan sesebuah syarikat.
“Dengan sistem yang mencontohi model Singapura ini, keperluan berurusan secara langsung antara majikan dan pegawai kerajaan dikurangkan, sekali gus mengurangkan risiko gejala rasuah.
“Peningkatan gaji minimum Malaysia kepada RM1,700 pada kadar tiga peratus daripada KDNK adalah setanding dengan standard negara-negara maju,” tegasnya.
Beliau mencadangkan Chee Keong memperkenalkan gaji minimum berbeza mengikut negeri dan kumpulan umur.
Sebagai contoh, di UK, National Living Wage ditetapkan pada £11.44 sejam bagi mereka yang berumur lebih 21 tahun, manakala pekerja muda menerima kadar lebih rendah.
“Oleh kerana kos sara hidup lebih tinggi di London, kadar Gaji Hidup London akan dinaikkan kepada £13.85 sejam menjelang Mei 2025, berbanding £12.60 di tempat lain.
“Dasar-dasar ekonomi yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2025 bertujuan untuk mengurangkan ketidaksamaan ekuiti sosial.
“Jika kita mengagumi negara-negara seperti UK dan Australia kerana kualiti hidup mereka, kita juga perlu menerima dasar-dasar yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti kehidupan di tanah air kita sendiri.
“Meskipun dasar belanjawan ini mungkin tidak menguntungkan golongan maha kaya, masyarakat Cina Malaysia perlu menerimanya kerana bagi mereka, tiada pilihan lain selain daripada Kerajaan Madani ini,” katanya.