Advertisement

Konsert The LegendS – 15 Penggiat Seni Terima Sumbangan Karyawan

Juhar
Tun Juhar (tengah) menyerahkan sumbangan kepada salah seorang veteran seni Sabah Alleh Basililo Agullana (tiga dari kiri) – ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 15 orang penggiat seni di Negeri Sabah menerima sumbangan daripada Karyawan Malaysia.

Sumbangan tersebut merupakan hasil kutipan jualan tiket Konsert Majlis Makan Malam Amal The Legends yang berlangsung di sini, pada Jumaat malam.

Penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin bersama Toh Puan Norlidah Tan Sri R.M Jasni, diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor serta isteri, Datin Seri Panglima Juliah Salag.

Konsert The Legend menampilkan artis-artis lagenda tanah air seperti Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah, Papa Rock, Datuk Ramli Sarip, Presiden Karyawan, Datuk Khatijah Ibrahim, Gitaris, Man Kidal dan ramai lagi.

Lagu, “Ku Sangka Siang Kiranya Malam” yang telah mencecah usia 45 tahun hasil ciptaan komposer, Tan Sri Ahmad Nawab bersama Rahmat Zaki dan “Peristiwa Di Bulan November” menjadi antara lagu pilihan Khatijah Ibrahim untuk dipersembahkan.

Manakala, Jamal Abdillah pula memukau penonton menerusi lima buah lagu iaitu “Azura”, “Derita Cinta”, “Kekasih Awal dan Akhir”, “Aku Penghibur” dan “Gadis Melayu”.

Lagenda rock, Ramli Sarip juga mendendangkan lima buah lagu yang menjadi siulan anak muda suatu ketika dahulu iaitu lagu “Cinta Di Sebalik Musim”, “Bukan Kerana Nama”, “Kekasihku”, “Camelia” dan “Teratai” sambil diiringi petikan gitar Man Kidal.

Lagu “Doa Buat Kekasih” hasil paduan suara Ramli Sarip dan Khatijah Ibrahim turut menggamit memori sejak hampir 36 tahun lalu.

Konsert yang dihadiri lebih 1,500 penonton itu juga dihiburkan oleh artis tempatan Sabah dibarisi Azharina Azhar, Jimmy Palikat dan Den Bisa dengan pasangan duetnya, Datin Saadiah serta persembahan standing comedian oleh Mad Sabah.

Penampilan khas anakanda Tun Juhar, Datin Al Hanna Surya Juhar dengan lagu “Rindu” dendangan Hetty Koes Endang menambahkan kemeriahan konsert berkenaan.

Turut hadir dalam majlis tersebut Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Sabin Samitah dan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia Datuk Freddy Fernandes. — JABATAN PENERANGAN SABAH