KOTA KINABALU, SABAH – Para usahawan diseru lebih kreatif dalam menghasilkan produk hiliran berasaskan hasil tanaman, ternakan dan tangkapan ikan.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G Kitingan berkata bidang keusahawanan merupakan bidang yang memberi nilai tambah ekonomi jika dipraktikkan sebaiknya.
“Selain dapat memberi peluang perniagaan, juga boleh mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk luar bandar dan komuniti setempat.
“Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) akan terus komited membantu masyarakat peladang, penternak dan nelayan untuk lebih berdaya saing dengan produk-produk yang dihasilkan dapat menembusi pasaran antarabangsa.
“Ini seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi negeri dan negara serta menjadikan sektor pertanian penyumbang utama keluaran dalam negara kasar (KDNK),” katanya semasa Majlis Perasmian Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sabah (HPPNS) Tahun 2024 di sini, pada Jumaat.
Pada majlis tersebut, Jeffrey turut menyampaikan hadiah kepada penerima-penerima anugerah HPPNS dan sijil high achievers kepada usahawan-usahawan Sabah yang merekodkan prestasi cemerlang.
“Semoga pengiktirafan ini menjadi platform meningkatkan pencapaian tahap prestasi para peladang, penternak dan nelayan agar terus dedikasi, komited dan berdaya saing untuk lebih berjaya.
“Selain itu, saya berharap pengiktirafan tersebut dapat menyuntik semangat dan azam para usahawan untuk terus gigih mengembangkan perusahaan dalam bidang masing-masing,” tambahnya.
Anugerah yang disampaikan antaranya adalah Anugerah Peladang Jaya Lelaki yang diberikan kepada pengusaha penternakan dan pemprosesan menternak itik, Mohammad Ridzki Nadda yang turut menjual pes dan telur masin.
Manakala Anugerah Peladang Jaya Wanita dimenangi Rafidah Jumahad sementara Anugerah Nelayan Jaya diberikan kepada Ramlee Senitro. — JABATAN PENERANGAN SABAH