KUALA LUMPUR: Komitmen bebas rokok pada tahun 2025, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) akan menghentikan penjualan rokok di semua premis berdaftar di bawahnya.
Perkara itu disuarakan oleh Presiden Persatuan tersebut, Datuk Jawaha Ali Taib Khan dalam mesyuarat agung Presma yang berlangsung kelmarin.
Katanya, ia adalah langkah tepat dalam menyahut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melarang pelanggan merokok di premis restoran.
“Presma mahu memberikan kerjasama yang baik dengan KKM dengan menamatkan penjualan rokok di semua premis yang menjadi ahli.
“Ini juga dapat meningkatkan kesedaran isu pelanggan yang menghisap rokok di premis makanan. Jadi saya sarankan kepada ahli Presma untuk sama-sama mengambil tanggungjawab ini.
“Setakat ini, kira-kira 50 peratus daripada pemilik restoran sudah tidak menjual rokok. Sebenarnya banyak manfaat lain dari segi kesihatan dan kebersihan bila kita tidak jual rokok. Jadi kita akan mulakannya,” katanya kepada Harian Metro.
Tambah beliau, dalam mesyuarat sama, pihaknya turut menyentuh isu kebersihan premis makanan dalam usaha menyediakan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.
“Presma memberi pendedahan kepada ahli cara memohon Sijil Pengesahan Halal dari Jakim.
“Kita juga menyarankan premis untuk mendapatkan pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) yang dikeluarkan KKM,” katanya.
Katanya, turut dibincangkan ialah, isu kenaikan gaji bagi pekerja asing serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Kenaikan gaji minima perlu dikaji semula oleh kerajaan kerana dalam industri makanan dan minuman, rata-ratanya menyediakan makanan dan minuman yang cukup setiap hari serta menyediakan tempat tinggal untuk pekerja asing,” katanya.