Advertisement

Lima Cedera Dalam Kemalangan, Hilux Terbabas Dan Terbalik Di Jalan Sandakan-Kinabatangan 

KINABATANGAN: Lima mangsa dilaporkan cedera selepas terlibat dalam satu kemalangan membabitkan sebuah kereta pacuan empat roda yang terbabas sendiri lalu terbalik di Jalan Sandakan – Kinabatangan, Kampung Paris 1 pada petang kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.01 petang. 

Katanya, seramai enam anggota pasukan bomba dari BBP Kinabatangan bersama 11 pegawai kesihatan telah dikejarkan ke lokasi sejauh 43 kilometer dari balai.

“Lapor kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux terbabas sendiri di bahu jalan lalu terbalik.

“Terdapat lima mangsa terlibat mengalami kecederaan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba. 

“Pasukan bomba seterusnya memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum diserahkan kepada pihak KKM,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah beliau, kesemua mangsa seterusnya dihantar ke hospital Kinabatangan menggunakan ambulans KKM untuk menerima rawatan selanjutnya.

Setelah memastikan tiada bahaya lain yang wujud di lokasi kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.32 petang.