Advertisement

Pertubuhan Kebajikan Azzahra Laksana Kem Remaja Tahun Hadapan





Norlidah
Toh Puan terima cenderamata daripada Sharifah ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Pertubuhan Kebajikan Asnaf Azzahra akan melaksanakan siri Kem Remaja bermula tahun depan.

Presidennya, Sharifah Seri Tuanku Sh. Hamid berkata, pelaksanaan tersebut merupakan kesinambungan penganjurnya sebelum ini menyantuni golongan asnaf.

“Seawal Januari depan, kami akan mengadakan Kem Remaja di Tuaran seterusnya ke beberapa kawasan yang mempunyai golongan asnaf dan mualaf.

“Tujuan kami untuk menyantuni golongan asnaf dan mualaf dan sebelum ini kami telah berjaya melaksanakan program berkenan di Menggatal dan Sepanggar.

“Di samping itu, kami berusaha membantu Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) memberi bantuan pendidikan kepada golongan asnaf dan mualaf yang memerlukan khususnya yang berada di luar bandar.

“Dalam masa terdekat, kami akan mengadakan program berkhatan beramai-ramai di Kampung Pirasan, Kota Belud membantu golongan berkenaan yang memerlukan kemudahan tersebut,” katanya kepada media selepas membuat kunjungan hormat kepada Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah di Istana Seri Kinabalu.

Menurut Sharifah, kunjungan itu adalah untuk memperkenalkan pertubuhan tersebut yang ditubuhkan pada 13 Oktober 2021 selain menerangkan objektif penubuhannya serta berbincang kolaborasi bagi mengadakan program pada masa akan datang.

Sejurus selepas itu, Toh Puan Norlidah turut menerima kunjungan daripada Konsul Agung Negara Brunei Darussalam yang baharu, Fauzana Octavia yang menggantikan Awang Hipni Matarsad.

Sebelum ini beliau bertugas di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Brunei Darussalam dan bertugas secara rasmi di Sabah pada 14 Jun lepas. — JABATAN PENERANGAN SABAH