Advertisement

Pidato Tingkatkan Pemahaman SMJ Golongan Muda – Arifin

Arifin
Lima peserta akhir kategori IPT merakamkan gambar kenangan bersama-sama dengan Arifin (tengah) dan tetamu jemputan ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Pentas pidato berjaya meningkatkan pemahaman hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada golongan muda.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata penganjuran Pertandingan Pidato SMJ Piala Ketua Menteri yang memasuki tahun kedua berjaya menarik minat penuntut sekolah menengah dan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) untuk mengupas, mengulas serta menyuarakan idea-idea bernas berkaitan dengan SMJ.

“Para pemidato bukan hanya berjaya mengulas konsep SMJ malah turut mengajak hadirin untuk menghayati intipati SMJ yang telah diperkenalkan oleh kerajaan negeri sejak Mac 2021.

“Penyertaan pelajar IPT berasal dari semenanjung pada pertandingan kali ini juga memperlihatkan bahawa SMJ ini bukan hanya dikenali di Sabah malah turut mendapat perhatian para pelajar dari luar Sabah.

“Kita membawa SMJ ini ke seluruh universiti menerusi program jelajah anjuran Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), di mana kita memperkenalkan pelbagai program SMJ seperti yang dilaksanakan di 25 universiti baru-baru ini, ini dengan sendirinya memperkenalkan SMJ ini ke seluruh negeri.

“Para pelajar Sabah khususnya akan membawa agenda SMJ dengan menerap nilai-nilai pendidikan, agenda kesejahteraan dan memperkasakan pendidikan di peringkat IPT,” jelasnya.

Arifin yang juga Exco Agama dan Pendidikan berkata demikian kepada media sejurus merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Pidato SMJ Piala Ketua Menteri Sabah 2024 anjuran IKRAR (Jabatan Ketua Menteri) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Dewan Resital, pada Rabu.

Pada majlis tersebut, pelajar yang mewakili tuan rumah (UMS), Ahmad Afif Hakimi Abdul Mukim dinobatkan sebagai juara bagi kategori IPT sekaligus membawa pulang hadiah utama berupa siji, trofi dan wang tunai RM1,500.

Naib juara ialah Muhammad Faris Fiqran Mohammad dari Universiti Multimedia Malaysia (MMU), tempat ketiga disandang Muhammad Haziq Hedzril Norhairol (UiTM Shah Alam) manakala saguhati masing-masing diraih Ahmad Baihaqi Mohd Fadzil (Universiti Sultan Zainal Abidin) dan Alya Ayunatashya Awang Albeh.

Bagi kategori sekolah menengah, pemidato yang mewakili SMK Tawau, Noraeezma Mada Ali @Joharie dinobatkan sebagai juara dan memenangi hadiah wang tunai RM1,000, sijil dan trofi diikuti Umar Safian Mohd Fadzil (SMK Pangalat Papar) sebagai naib juara manakala, Mohammad Hidayah Hidayat (SMK Datuk Panglima Jakarallah Semporna) di tempat ketiga serta saguhati Muhammad Rezki Jumain (SMK Tawau) dan Syamyza Nurfaasha Samsul (SMK Desa Kencana, Felda Sahabat Lahad Datu).

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor UMS Prof Madya Dr Raman Noordin, Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Dr Mohd Asran Amisah, Penasihat Undang-Undang UMS Awang Suhaizam Bungso dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS Mohd Raffie Janau. — JABATAN PENERANGAN SABAH