Advertisement

Kontraktor Kota Kinabalu Jadi Mangsa Terbaru Penipuan Tender, Rugi RM64,200 – Sabah News





PDRM
Logo PDRM ( Sumber Foto: Google )

KOTA KINABALU, SABAH –  Seorang kontraktor di sini menjadi mangsa terbaharu penipuan tender di media sosial dengan kerugian sehingga RM64,200 berikutan pembelian mesin janakuasa EcoFlow dan bekalan pendawaian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, mangsa menerima mesej WhatsApp daripada penipu yang kononnya seorang pegawai kerajaan pada Khamis.

“Mangsa bersetuju dengan tender itu dan yakin dengan tawaran diberikan dengan kepala surat rasmi kerajaan.

“Bagaimanapun, suspek memberikan nombor pembekal bagi memudahkan urusan yang didakwa penipu itu pernah membekalkan mereka sebelum ini.

“Mangsa memesan enam unit dan meneruskan transaksi ke dalam akaun bank suspek dengan menjanjikan mesin akan dihantar segera.

“Dia mula bimbang selepas suspek mula membuat lebih banyak pesanan. Kemudian, dia disekat oleh penipu itu,” kata Kasim dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kasim berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Polis Kota Kinabalu telah menerima sebanyak 35 laporan membabitkan kerugian RM1,692,915 dengan modus operandi sama dari Jan hingga Okt 2024.

Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat serta boleh didenda jika sabit kesalahan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran tender melalui media sosial dan meminta pengesahan terlebih dahulu sebelum berurusan atau membuat pembayaran dengan jabatan berkaitan atau ke akaun yang disediakan,” tegasnya.