Advertisement

PRN17 SABAH DIJANGKA DIADAKAN BILA-BILA MASA: KM HAJIJI – Sabah News

Hajiji
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor merangkap Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) disambut oleh pemimpin dan penyokong parti setibanya di Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat 2024 di Sabah International Convention Centre (SICC) – ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) dijangka diadakan pada bila-bila masa antara November ini hingga Oktober tahun depan.

Memetik sumber Harian Metro, perkara itu dinyatakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika mengulas tempoh kerajaan pimpinannya sekarang yang akan berakhir pada Oktober tahun depan.

“Kita mempunyai tempoh sehingga Oktober 2025 untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberi laluan kepada PRN17.

“Maknanya, kita boleh mengadakan pilihan raya pada bila-bila masa, sebelum atau sehingga tempoh kita tamat.

“Apa yang pasti, kita akan berhadapan dengan pilihan raya,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar bertajuk ‘Memperkasa Parti, Memakmurkan Negeri’ pada Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Selain pemimpin Gagasan Rakyat, perhimpunan itu turut dihadiri pemimpin rakan partinya dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah.

Antara yang hadir ialah Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman; Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee.

PH Sabah pula diwakili Pengerusinya, Datuk Seri Christina Liew; Ketua PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud; Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe; Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick dan Pengerusi Amanah Sabah, Lahirul Latigu.

Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat dan Pengerusi GRS berkata, kerajaan GRS-PH-Plus pimpinannya memerlukan mandat baharu daripada rakyat dan sokongan yang signifikan bagi menerajui kerajaan negeri dalam tempoh lima tahun lagi.

“Tempoh itu amat penting kepada rakyat dan negeri ini bagi memastikan segala agenda yang terkandung dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang kita gagaskan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Yakin dan percayalah, PRN17 adalah peluang terbaik untuk kita memperkukuhkan kedudukan dan kekuatan Gagasan Rakyat, selain menjadi medan kita pasakkan asas parti serta memperkasa sokongan rakyat terhadap parti yang tercinta ini.

“Momentum ini akan menjadikan Gagasan Rakyat dan GRS kukuh dalam politik arus perdana, sekali gus mencipta blok politik yang kuat lagi disegani,” katanya.