KOTA KINABALU, SABAH – Persatuan Bola Jaring Negeri Sabah (SABANA) mengajak wanita berkerjaya membina hubungan erat menerusi sukan bola jaring.
Presiden SABANA, Chendramata Sinteh berkata selain mengeratkn hubungan dikalangan penjawat awam, pada masa sama turut mempopularkan sukan bola jaring itu sendiri.
“Di samping mempopularkan sukan bola jaring di kalangan penjawat awam, juga membolehkan mereka membina network atau jaringan perhubungan antara satu sama lain sebab berada dalam lain-lain jabatan.
“Dalam mereka melaksanakan tugas masing-masing, pasti ada yang sentiasa berhubung dan ini mengeratkan lagi silaturahim di kalangan penjawat-penjawat awam.
“Usaha ini bertepatan degan objektif dan visi SABANA mempopularkan sukan tersebut selaras Pelan Strategik Pembangunan Sukan Bola Jaring Negeri Sabah 2023 hingga 2027.
“Selain itu, turut menggalakkan wanita berkerjaya menjalani gaya hidup sihat menerusi sukan bola jaring,” katanya ketika ditemui media sempena Kejohanan Bola Jaring Piala Toh Puan Siri Ke-10 2024 anjuran SABANA.
Perasmian Kejohanan tersebut yang berlangsung dua hari bermula Sabtu disempurnakan oleh Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Datuk Seri Panglima Dr. Norlidah R.M Jasni.
Menurut Chendramata, kejohanan itu disertai 21 pasukan dari pelbagai jabatan/agensi dan syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) di Sabah serta Wilayah Persekutuan Labuan.
Johan dimenangi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu diikuti Pejabat Pendidikan Daerah Sandakan sebagai naib johan manakala pasukan Polis Diraja Malaysia di tempat ketiga. — JABATAN PENERANGAN SABAH