KOTA KINABALU: Polis Sabah merampas 24.5 kilogram syabu bernilai RM784,000 dan keldainya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 8.30 pagi Khamis lalu (7 Nov).
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata susulan penahanan lelaki Lahad Datu berusia 24 tahun itu, dalang sindiket, seorang lelaki berusia 28 tahun dari Negeri Sembilan, kemudian ditahan di sebuah hotel lima bintang di sini pada 11.15 malam hari yang sama.
Beliau berkata kuantiti dadah disembunyi di dalam 23 bungkus beras itu bertujuan untuk pasaran tempatan yang cukup untuk menampung 81,659 penagihan.
“Keldai itu ditawarkan upah RM1,000 bagi setiap pakej yang diseludup menggunakan taktik pengangkutan penerbangan awam.
“Hasil soal siasat, suspek mendedahkan sebelum ini juga telah membawa masuk dadah dari Sabah ke Sarawak dengan upah RM9,000,” katanya pada sidang media hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, beliau berkata pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah telah membuat rampasan bernilai RM6.7 juta sepanjang tahun 2024.
Katanya, nilai rampasan kristal syabu tertinggi (RM4.8 juta) namun daun ketum (RM6,783) jenis rampasan dadah yang dengan jumlah terbanyak.