Kota Kinabalu: Inisiatif Jawatankuasa Inisiatif Kepimpinan Wanita (Women Leadership Initiative Committee-WLIC) diharap mampu melonjakkan usaha meningkatkan penyertaan wanita di peringkat pembuat keputusan.
Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun berkata, WLIC penting memandangkan penanda aras 30 peratus jumlah wanita di peringkat pembuat keputusan sehingga hari ini masih gagal dicapai.
Sehubungan itu katanya, WLIC yang ditubuhkan pada Julai lalu diharap mampu menjadi salah satu mekanisme pemantauan bagi merealisasikan usaha berkenaan.
“Sehingga hari ini kita masih tidak berjaya mencapai penanda aras sekurang-kurangnya 30 peratus wanita berada di peringkat kumpulan pembuat keputusan.
“Oleh kerana itu sebagai seorang pemimpin wanita dan sebahagian tugas di IDS ini saya percaya bahawa kita perlu melihat semula pencapaian ini, di mana masalah dan kekangan yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa dalam program Perbincangan Meja Bulat Siri Pertama (Sektor Awam) Kepimpinan Wanita di Sabah, di Kota Kinabalu, baru-baru lalu.
Terdahulu, dalam ucapannya, Azizah memberitahu, sebagai negara berhasrat mencapai kesamarataan gender dalam pembangunan, satu cabaran besar yang perlu dihadapi ialah aspek penglibatan wanita dalam kepimpinan, khususnya di negeri Sabah.
Katanya, walaupun wanita masa kini semakin ramai berpendidikan tinggi dan berkelayakan, namun penyertaan mereka dalam kepimpinan sektor awam dan swasta masih belum mencerminkan potensi sebenar.
“Di Sabah, hanya sekitar 14 peratus wanita menduduki jawatan dalam kumpulan pembuatan keputusan di sektor awam, sementara majoriti masih berada di peringkat sokongan dan perkeranian.
“Ini menunjukkan, wujudnya halangan untuk wanita mencapai peranan strategik dalam sesebuah organisasi,” tambah beliau.
Jelasnya lagi, semua sedia maklum wanita memainkan peranan penting dalam pembangunan sesebuah negeri dan negara, namun berdasarkan Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) 2022, terdapat jurang ketara dalam peluang dan penyertaan ekonomi serta penguasaan politik wanita.
Sementara skor bagi penguasaan politik pula hanya 0.102 yang menunjukkan bahawa cabaran yang perlu diatasi untuk meningkatkan peranan wanita dalam bidang ini masih tinggi.
Katanya, di Sabah, hanya 18 peratus wanita memegang jawatan Ahli Majlis di pihak berkuasa tempatan, manakala hanya 26 peratus daripada ahli lembaga pengarah dan CEO di agensi kerajaan dan Government Link Company (GLC) adalah wanita.
“Sesi meja bulat hari ini adalah merupakan langkah pertama untuk merangka strategi komprehensif bagi mengatasi cabaran, dengan objektif utama untuk memastikan usaha pemerkasaan wanita dapat dijalankan dengan konsisten.
“Inisiatif ini bertujuan meningkatkan penyertaan wanita di peringkat pengurusan, menggalakkan pengaruh wanita dalam penggubalan dasar di Sabah, serta membentuk pemimpin wanita berwibawa dan berpotensi untuk memimpin,” katanya.