KOTA KINABALU: Energy Commission of Sabah (ECoS) telah memulakan proses pendakwaan di mahkamah terhadap individu dan syarikat-syarikat yang dituduh mengusik meter elektrik yang menyebabkan kerugian kepada Sabah Electricity (SE) berjumlah lebih daripada RM3 juta.
“Serbuan-serbuan yang dilaksanakan oleh ECoS dan SE sejak bulan Mei 2024 telah menemui bukti kukuh pengusikan meter yang menyebabkan meter gagal merekodkan penggunaan elektrik yang sepatutnya.
“Maklumat-maklumat awal berkaitan aktiviti pengusikan meter diperolehi daripada rekod pengebilan yang rendah yang menimbulkan keraguan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid.
Beliau turut memaklumkan bahawa selain daripada tindakan pendakwaan jenayah di mahkamah oleh ECoS, pihak SE juga telah memulakan tindakan undang-undang sivil menuntut kerugian mulai awal tahun 2025.
Lima kes telah difailkan di Mahkamah Sesyen di Sandakan, Sabah di bawah Seksyen 61(3) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
“Selepas ini, ECoS akan meneruskan pendakwaan sebanyak sembilan lagi kes kecurian elektrik. Semua aktiviti kecurian elektrik mesti ditangani dengan tegas mengikut lunas undang-undang untuk melindungi kepentingan awam dan mengekalkan kebolehpercayaan perkhidmatan elektrik,” kata Nasser.
Dalam sesi-sesi pendakwaan yang telah dijalankan secara berasingan pada 10 dan 11 November di mahkamah Sesyen Sandakan, individu-individu Wong Kin Hong, Chang Wan Yee, Wan Kok Hsiung serta syarikat Phoenix Series (S) Sdn Bhd dan Sama Marketing Sdn Bhd, telah mengaku bersalah dan hakim telah menjatuhkan hukuman bayaran denda sebanyak RM20,000 dan sekiranya gagal dibuat, penjara selama 6 bulan.
“Tindakan pendakwaan yang dilaksanakan oleh ECoS adalah perlu bagi membanteras aktiviti-aktiviti curi elektrik yang semakin berleluasa di negeri Sabah di samping membantu SE dari mengalami kerugian hasil yang lebih parah jika tidak dibendung.
“ECoS tidak akan berkompromi kepada mana-mana pihak yang melanggar undang-undang yang telah diperuntukkan di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024,” kata Nasser dalam sebuah kenyataan.