KOTA KINABALU: Pengambilan guru baharu mengikut tiga wilayah iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan (JTBPP) Negeri Sabah Bilangan 1 Tahun 2024.
Mesyuarat pada Selasa (12 Nov) itu telah dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif di Putrajaya.
Antara keputusan penting lain yang dipersetujui ialah untuk memasukkan citra Sabah dalam kurikulum dan dasar pendidikan negara.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut meluluskan lima tuntutan tambahan yang dikemukakan oleh Kerajaan Sabah sebagaimana yang telah diluluskan kepada Kerajaan Sarawak.
la melibatkan perancangan projek, perkongsian maklumat mengenai perpindahan pegawai kanan jabatan pendidikan negeri (JPN) ke ibu pejabat KPM dan perkongsian data pendidikan.
Selain itu, Kerajaan Sabah juga telah mengemukakan satu tuntutan baharu berkaitan fleksibiliti dan autonomi dalam penggunaan peruntukan bencana berdasarkan keperluan sebenar atau kesegeraan.
KPM telah bersetuju dengan tuntutan ini dan akan menambah baik prosedur pengendalian standard (SOP) sedia ada untuk perolehan kecemasan bagi menentukan peruntukan serta kaedah perolehan dalam usaha membantu penyelesaian segera ketika bencana dan mengatasi isu-isu berbangkit.