Advertisement

Rubin Nafi Terima Rasuah Dari “Kartel Mineral” – Sabah News

KOTA KINABALU: ADUN Kemabong Datuk Rubin Balang menafikan sebarang dakwaan salah laku susulan penularan rakaman videonya yang dikatakan membincangkan projek perlombongan dengan orang lain.

“Saya rasa tidak ada unsur rasuah dalam mesyuarat itu. Tiada sebab untuk saya disiasat.

“Saya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sekiranya dipanggil,” kata Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah kepada New Straits Times hari ini.

Sebelum ini, Malaysiakini mengeluarkan video daripada pemberi maklumat yang memdakwa menunjukkan Rubin sedang berunding mengenai sebuah projek perlombongan.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pemuda PGRS dalam sebuah kenyataan berkata video tersebut sebenarnya menunjukkan perbincangan perniagaan yang belum dimuktamadkan.

“Bekas CEO Sabah Mineral Management, Jontih Enggihon, telah menggunakan tipu daya dengan membawa individu bernama Albert Tei dari Kartel Mineral yang dikatakan sebagai pelabur untuk membincangkan peluang perniagaan.

“Nasib baik wakil rakyat tersebut segera menyedari bahawa pertemuan itu hanyalah satu pembaziran masa dan berpotensi membawa agenda tidak baik.

“Terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah atas kebijaksanaannya dalam menamatkan kontrak Jontih Enggihon dan Kartel Mineral kerana mereka dipercayai lebih cenderung mengaut keuntungan daripada hasil bumi Sabah dan bukannya menyumbang kepada kestabilan ekonomi negeri ini,” katanya.

Beliau turut menyatakan tuduhan itu bertujuan untuk mencemarkan imej Rubin dan mengalih perhatian daripada kejayaan serta sokongan yang diperolehi Kerajaan Sabah pada masa ini.

“Lebih serius lagi, individu seperti Albert Tei perlu diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa kerana dipercayai cuba menawarkan rasuah demi kepentingan peribadi untuk memonopoli sumber mineral di Sabah,” tambahnya.