KOTA KINABALU: Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun akan membentangkan Belanjawan 2025 yang bertemakan Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera bermula jam 3 petang ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Semalam, Masidi telah menerima dan membuat semakan terakhir Teks Ucapan Belanjawan 2025 tersebut.
Teks Ucapan Belanjawan 2025 diserahkan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pembangunan) Chee Shok Ting bersama Timbalan Setiausaha Tetap (Operasi), Anthea James Jipanus, Setiausaha Rendah Bahagian Belanjawan, Mohd Faizal Mohd Tahir, disaksikan oleh Pembantu Menteri I YB Datuk Julita Majungki dan Pembantu Menteri II YB Tan Lee Fatt, serta pegawai-pegawai lain.
Terdahulu, Masidi dilaporkan berkata, pembentangan Belanjawan itu juga akan memastikan rakyat khususnya golongan B40 dapat mengurangkan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Saya tidak mahu memberi pengisian lebih lanjut hari ini, sebab ini bukan pembentangan, sekadar saya ingin mengatakan kita (Kerajaan) akan memberi sesuatu yang luar dugaan yang belum pernah dibuat sebelum ini.
“Ini bagi memastikan ianya dapat membantu golongan B40 mengurangkan tekanan kesan kenaikan barang. Saya tahu banyak lagi bantuan diperlukan rakyat bagi mengekang kos sara hidup melalui bantuan khas daripada kerajaan,” katanya memetik laporan Sabah Media.