PUTRAJAYA: Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar menyelar tindakan individu mendedahkan video berkaitan dengan rasuah kepada media seterusnya kepada umum tanpa menyerahkan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Memetik Sinar Harian, Zulkarnain dilaporkan berkata, tindakan tidak bertanggungjawab individu berkenaan telah menimbulkan persepsi negatif kepada mereka yang terlibat dan juga undang-undang negara ini.
“Berdasarkan pengetahuan saya, (negara) kita mempunyai akta yang melindungi pemberi maklumat yang mana ia masih lagi terpakai sehingga sekarang,” katanya kepada media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.
Tegas beliau, pihak yang mempunyai maklumat sepatutnya terus menyalurkan maklumat kepada SPRM.
“Kita ini bukan Korea Utara di mana pemberi maklumat tidak selamat apabila membuat laporan.
“Jika beri alasan diugut bunuh, saya pun pernah menerima ugutan sama tetapi saya tidak dedahkan maklumat kepada umum, hanya SPRM sahaja yang tahu,” tegas beliau.
Justeru itu, katanya, beliau membuat satu laporan agar SPRM menyiasat individu berkenaan yang didakwa memiliki maklumat perbincangan rasuah antara ahli perniagaan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengenai lesen projek di Sabah.
“Saya buat laporan supaya SPRM menyiasat individu ini kerana tidak melaporkan mengenai maklumat yang dimilikinya,” katanya.
Terdahulu, sebuah portal berita mendedahkan terdapat lapan video daripada pemberi maklumat mengenai hal tersebut.
Peguam kepada pemberi maklumat itu berkata, anak guamnya bersedia memberikan bukti kepada SPRM jika agensi antirasuah itu boleh memberi jaminan bahawa dia tidak akan disiasat.