PENAMPANG, SABAH – Dua komponen utama iaitu pembangunan sistem pangkalan data bersepadu dan dokumentasi etnik, diberi penekanan dalam Fasa kedua Projek Pembangunan Sistem Pemetaan Budaya Bersepadu Negeri Sabah 2024-2025.
Fasa pertama projek ini telah bermula pada tahun 2021 hingga 2023 dan telah mengumpulkan sebanyak 16 kajian melibatkan pelbagai etnik di seluruh Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata projek ini antara yang dilaksanakan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) dalam usaha memastikan data dan dokumentasi membabitkan kepelbagaian etnik di Sabah terus terpelihara.
“Antara etnik itu ialah etnik Dusun Gana, etnik Mangka’ak, etnik Sungai Milian, etnik Murut Timugon, etnik Okolod, etnik Turavid, etnik Kadazan Papar, etnik Kalabuan dan etnik Bonggi.
“Saya berharap usaha ini akan mencapai matlamat kita khususnya untuk mengenali etnik-etnik ini dan budaya mereka.
“Usaha seperti ini sudah pasti membantu kita untuk memelihara dan memulihara budaya etnik-etnik yang ada di negeri ini. Saya juga dimaklumkan bahawa pihak Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah melakukan dokumentasi etnik dan budaya secara berterusan sebelum ini iaitu sejak tahun 2008,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sambutan Hari Etnik Sabah sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-71 Tuan Yang Terutama Yang di Pertua Negeri Sabah di International Technology & Commercial Centre (ITCC) di sini pada Sabtu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Majlis itu dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Dalam pada itu beliau berkata Sabah bukan sahaja terkenal dengan keindahan alam semula jadi, tetapi juga lebih daripada 35 etnik dan 217 sub-etnik yang hidup harmoni di negeri ini.
“Setiap etnik menyumbang kepada keunikan budaya, adat resam, dan tradisi yang memperkayakan identiti negeri. Sempena sambutan Hari Etnik ini, kita meraikan kekayaan dan kepelbagaian etnik yang menjadi identiti unik negeri Sabah,” katanya.