KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick mencadangkan kepada Kerajaan Negeri supaya menyokong dana program untuk lawatan atau ‘ziarah’ ke tanah-tanah suci Kristian kepada pemimpin gereja.
Beliau berkata, ini adalah untuk memberi peluang kepada para pemimpin gereja terutamanya paderi, pastor dan pemimpin gereja lain yang belum berkesempatan menunaikan pilgrimage tersebut.
“Saya mencadangkan agar Kerajaan Sabah mempertimbangkan penyertaan pemimpin-pemimpin agama Kristian misalnya, untuk menunaikan ‘pilgrimage’ ke tanah-tanah suci di bawah dokongan dana yang disediakan ini.
“Saya juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sabah atas peningkatan bantuan sekolah-sekolah dan badan-badan keagamaan bukan Islam daripada RM56.75 juta pada tahun 2024 ini kepada RM69.99 juta pada tahun hadapan.
“Ini jelas menunjukkan komitmen besar Kerajaan di bawah pimpinan YB Sulaman dalam memberi fokus kepada keperluan masyarakat bukan Islam di Sabah,” katanya ketika menyampaikan ucapan perbahasan ke atas Belanjawan Negeri Sabah 2025, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut mencadangkan supaya sebuah Unit Hal Ehwal Khas Bukan Islam dapat ditubuhkan di Jabatan Ketua Menteri atau di Kementerian Kewangan.
Beliau berkata ia adalah untuk menyelaras semua bantuan berkenaan termasuk Inisiatif Bantuan Penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Unit ini boleh berfungsi sebagai badan penyelaras kepada sumbangan korporat bercukai atau dikecualikan cukai kepada sekolah-sekolah dan badan-badan keagamaan bukan Islam di Sabah termasuk kunjungan pemimpin-pemimpin agama bukan Islam yang mahu berkunjung ke Sabah,” katanya.