Advertisement

Tiba Masa Bung Undur Diri Sebagai Ketua UMNO Sabah, Fokus Perbicaraan Kes Rasuah – Zulkarnain – Sabah News

KOTA KINABALU: Sudah tiba masanya untuk Datuk Seri Bung Moktar Radin berundur diri dari jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah dan memberi tumpuan penuh kepada perbicaraan kes mahkamah yang dihadapi oleh beliau.

Berkata demikian, Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) Datuk Zulkarnain Mahdar berkata secara peribadi, beliau berharap untuk melihat Bung bebas sepenuhnya tapi dalam masa sama menghormati keputusan mahkamah rayuan itu.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersidang bersama-sama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin pagi Isnin sebulat suara telah memutuskan untuk mengembalikan tiga kes rasuah ke Mahkamah Sesyen.

Kes membabitkan wang berjumlah RM2.8 juta berhubung pelaburan RM150 juta FELCRA dalam unit amanah Public Mutual Berhad Bung Moktar dan Zizie Izette.

Seorang bekas aktivitis Umno, Zulkarnain, yang terlibat secara aktif membantu UMNO Sabah sejak sekian lama juga tidak menolak kemungkinan untuk kembali menyokong UMNO jika Bung meletak jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Sabah.

“Umum mengetahui pilihan raya negeri Sabah akan diadakan pada tahun hadapan. Justeru, ahli UMNO Sabah di peringkat akar umbi amat memerlukan kepimpinan yang mempunyai lebih masa bersama mereka,” jelasnya dalam sebuah kenyataan hari ini.