KOTA KINABALU: Sebanyak 300 buah peranti Starlink telah dipasang di 300 lokasi di seluruh negeri ini yang telah dikenalpasti mempunyai masalah ketersambungan Internet.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pemasangan itu adalah bagi tujuan memperluaskan capaian Internet, Infrastruktur Teknologi Digital dan Jaringan Komunikasi.
“Pemasangan Starlink merupakan penyelesaian interim kepada Pelan Jalinan Digital Nasional (JENDELA) yang dijangka siap pada akhir tahun 2025.
“Kawasan pemasangan merangkumi daerah seperti Tuaran, Tambunan, Ranau, Keningau, Kota Belud, Kota Marudu, Kuala Penyu, Tenom, Tawau, Kalabaka, Sandakan, Tongod, Pitas, Kunak, Kudat, Beluran, Telupid, Sipitang, Beaufort, Lahad Datu, Semporna, Nabawan, Sook, Papar dan Penampang.
“Sebagai penyelesaian interim, Kementerian sedang melakukan pemantauan ke atas penggunaan Starlink yang telah dipasang.
“Sekiranya capaian internet tersebut telah diperbaiki dengan siapnya JENDELA, Kementerian akan memindahkan peranti Starlink tersebut ke kawasan yang masih mempunyai masalah capaian internet,” katanya ketika membuat penggulungan di Sidang DUN Sabah, hari ini.
Arifin yang juga ADUN Membakut (Gagasan Rakyat) berkata, Kerajaan Negeri juga akan terus memantapkan penyampaian perkhidmatan melalui ICT agar lebih produktif dan mesra rakyat.
“Kerajaan akan memanfaatkan teknologi IR4.0 dalam operasi
pentadbiran Kerajaan Negeri seperti penggunaan Artificial Intelligence untuk kerja-kerja berulang dan urusan pentadbiran harian agar kakitangan perkhidmatan awam lebih produktif dan mampu melaksanakan tugasan yang lebih sukar dan berimpak tinggi.
“Penggunaan AI ini akan digunakan dalam teknologi rangkaian komputer, keselamatan siber, sistem-sistem aplikasi dan beberapa lagi bidang lain.
“Penggunaan maklumat biometrik dan tandatangan digital juga akan manfaatkan dalam urusan Kerajaan,” jelasnya.