KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan (KPMKR) menerusi Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKA) ada menyediakan Skim Bantuan Am (SBAM) yang boleh dipohon oleh pesakit buah pinggang di bawah kategori zb40 yang layak.
Menterinya, Datuk James Ratib berkata, pemberian bantuan ini adalah untuk meringankan beban pesakit termasuklah kos membayar rawatan hemodialisis mereka.
“Sehingga November 2024, JPKA merekodkan seramai 21,504 penerima SBAM dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM4,719,740.00 dan 732 orang jumlah penerima adalah penghidap sakit buah pinggang.
“Walau bagaimanapun, setakat ini belum ada cadangan untuk mengecualikan pembayaran kos rawatan cuci buah pinggang, (RM13),” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Silam. Dumi Pg. Masdal yang bertanya apakah ada inisiatif dari kerajaan negeri untuk membantu golongan B40 yang merupakan pesakit dialisis yang dikenakan bayaran rawatan cuci pinggang sebanyak RM13 untuk dikecualikan daripada membayar bayaran tersebut.
Sementara itu, menjawab kepada persoalan berapakah jumlah pesakit buah pinggang seluruh Sabah, James yang juga ADUN Sugut (Gagasan Rakyat) berkata, setakat bulan Oktober tahun ini Negeri Sabah merekodkan 2,182 pesakit Kegagalan Buah Pinggang Tahap Akhir (End-stage Renal Failure – ESRF).
“Di mana daripada jumlah ini, 1,385 pesakit menjalani rawatan Hemodialisis manakala 797 pesakit menjalani rawatan Dialisis Peritoneal Ambulatori Berterusan (Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis – CAPD),” jelasnya.