Advertisement

Mahu Melombong Di Sabah? Tidak Semudah Itu – Rubin – Sabah News

Datuk Rubin Balang, ADUN Kemabong

KOTA KINABALU: Prosedur untuk mendapatkan kelulusan operasi perlombongan amat payah kata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah itu merujuk kepada video yang disiarkan dalam Malaysiakini di mana beliau dirakam mengatakan bahawa sukar untuk mendapatkan kelulusan perlombongan.

Beliau berkata hal yang sama berlaku meskipun semasa Barisan Nasional (BN) memerintah Sabah dan ketika Tan Sri Musa Aman menjadi Ketua Menteri.

“Anak pertama saya mempunyai latar belakang dan pengetahuan dalam bidang perlombongan dan saya tahu dia pernah membuat permohonan perlombongan semasa pentadbiran Musa.

“Pada masa itu, tiada jawatankuasa mahupun jabatan negeri ditubuhkan kerana tiada pegawai yang berpengalaman.

“Tetapi apabila pegawai yang lebih berpengalaman bekerja dalam kerajaan persekutuan ditugaskan kembali ke Sabah, kerajaan negeri kemudian menubuhkan jabatan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Di sebalik penubuhan jabatan negeri baharu itu, Rubin yang juga Pengerusi Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sabah (SEDCO) berkata, proses untuk mendapatkan kelulusan akhir masih mengambil masa bertahun-tahun dan memerlukan kos yang tinggi.

Jelasnya, pemohon perlu mendapatkan surat hasrat daripada Jabatan Tanah dan Ukur kerana perlombongan melibatkan sumber asli.

“Selepas mereka bersetuju, bayaran RM400,000 perlu dibuat kepada kerajaan negeri, diikuti semakan lanjut untuk menentukan sama ada terdapat galian atau tidak.

“Langkah-langkah seterusnya memerlukan kebenaran lanjut daripada Jabatan Tanah dan Ukur atau Jabatan Perhutanan.

“Sebagai contoh, untuk memeriksa tanah seluas 2,000 ekar, anda perlu menggerudi sehingga 100 meter menggunakan mesin khas.

“Bagaimanapun, itu tidak menjamin jumlah dan kualiti galian yang diterokai,” katanya.

Tambahnya, proses itu boleh mengambil masa bertahun-tahun dan menelan belanja jutaan ringgit tanpa sebarang jaminan kejayaan.