Advertisement

Ibu Dan Anak Terlibat Kemalangan Kereta Api Di Putatan, JKNS Jalankan Siasatan Dalaman – Sabah News





Jkns
Logo Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS)

KOTA KINABALU: Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS) akan mengaktifkan lembaga siasatan untuk menyiasat keadaan sekitar kawasan kemalangan berhampiran Kampung Petagas yang meragut nyawa seorang wanita berusia 41 tahun dan mencederakan anak lelakinya berusia 11 tahun, semalam.

“Kami akan mengaktifkan lembaga penyiasat untuk siasatan dalaman terhadap operasi kami. Pada masa yang sama, tindakan telah diambil oleh kami untuk membuat laporan polis.

“Kami menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan mereka,” kata Pengarah JKNS, Ir Mohammad Safri Abdul Habi dalam sebuah kenyataan hari ini.

Menjawab kebimbangan mengenai keselamatan pejalan kaki di kawasan itu, Safri menyatakan bahawa langkah keselamatan telah pun dilaksanakan menerusi penambah baikan berterusan dari semasa ke semasa.

“Kita telah memasang pintu pagar, tetapi tindakan lanjut akan dibincangkan. Mesyuarat penyelarasan akan diadakan dengan jabatan lain seperti Jabatan Kerja Raya bagi meneroka cara meningkatkan keselamatan pejalan kaki di kawasan itu,” katanya lagi.

Seorang wanita berusia 41 tahun maut digilis manakala anak lelakinya yang berusia 11 tahun dilaporkan putus kaki setelah dilanggar kereta api ketika menyeberangi landasan di Kampung Petagas sekitar jam dua petang pada Selasa.

Safri berkata usaha JKNS bertujuan untuk mencegah kejadian serupa pada masa hadapan dan memastikan keselamatan kedua-dua pihak pejalan kaki dan juga penumpang kereta api.