Advertisement

4493 Graduan UMS Bakal Bergraduasi Pada Konvokesyen UMS Ke-2​6 – Sabah News

Juhar
Tun Juhar bergambar kenangan bersama Shahril (dtiga dari kiri) dan rombongan UMS ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan )

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 4,493 graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) tahun 2024 akan bergraduasi pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-26.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Shahril Yusof berkata daripada jumlah tersebut seramai 3,862 graduan bakal menerima Ijazah Sarjana Muda dan 119 pelajar Doktor Falsafah (PhD) yang mencatatkan peningkatan signifikan berbanding tahun sebelumnya.

“Lebih membanggakan, sekitar 65 peratus daripada graduan merupakan anak kelahiran Sabah, menandakan sumbangan besar UMS melahirkan bakat tempatan yang berkualiti.

“Dalam kalangan graduan lima pelajar adalah daripada Orang Kelainan Upaya (OKU), 96 graduan daripada pelajar antarabangsa, satu Anumerta dan 118 graduan adalah daripada kategori B40.

“Selain itu, sebanyak 426 pelajar berjaya memperoleh Ijazah Kelas Pertama dan ini menunjukkan pencapaian akademik yang memberansangkan,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu pada Selasa.

Kunjungan tersebut diadakan bagi memaklumkan Tun Juhar tentang Program Konvokesyen UMS ke-26 serta Sambutan Ulang Tahun UMS ke-30 tahun yang akan berlangsung di Dewan Canselor UMS pada 7 hingga 10 Disember ini.

Kata Shahril, acara tradisi, Tamu Gadang juga akan diadakan serentak dengan program konvokesyen sebagai pengisian program bagi orang ramai termasuk keluarga graduan untuk merasai suasana kemeriahan konvokesyen di UMS.

“Tamu Gadang ini bukan hanya platform bagi meraikan pencapaian graduan tetapi juga memperkukuhkan hubungan UMS dengan masyarakat sekitar,” katanya.

Harapan beliau agar para graduan akan meneruskan kecemerlangan dalam kerjaya mereka serta mengekalkan integriti dan nilai murni yang telah diterapkan sepanjang pengajian.

“Kami di pihak pengurusan dan akademik juga berharap para graduan kembali ke UMS untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana atau PhD dan menjadikan UMS sebagai destinasi utama pendidikan mereka,” ujar Shahril.

Hadir sama, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMS, Dr Rizal Zamani Idris, Ketua Bahagian Perkhidmatan Akademik Norti Sirin dan Ketua Bahagian Governance Jabatan Pendaftar UMS Azmi Jumat. — JABATAN PENERANGAN SABAH