KOTA KINABALU, SABAH – Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) tidak bercadang untuk membina tapak tamu kekal dan berbumbung di Pekan Muhibbah Rancangan Sungai Manila Batu 12 Sandakan.
Pembantu Menteri I, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih berkata hal tersebut disebabkan telah ada pembangunan di kawasan tersebut iaitu Arked Pekan Muhibah.
“Arked Pekan Muhibbah telah dibangunkan oleh pihak Sedcovest Holdings Sdn. Bhd. (SEDCOVEST) dan MPS membantu dari segi pengurusan pengisian lot-lot gerai.
“Melalui usaha sama ini, SEDCOVEST telah membangunkan 73 lot premis dan terdapat juga kemudahan lain seperti tempat letak kereta, rumah sampah dan tandas awam,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan ADUN Dilantik, Datuk Suhaimi Nasir semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Yang Keenam Belas Negeri Sabah, pada Rabu.
Isnin turut memaklumkan bagi meningkatkan ekonomi para peniaga berlesen di Pekan Muhibbah, kerajaan telah mengumumkan untuk memberikan bantuan RM5,000. — JABATAN PENERANGAN SABAH